PIALA BELIA: KEDAH JARAK DUA MATA, FELDA UNITED DIIKAT KL

2016-05-12

Kedah melebarkan sedikit jurang dua mata di tangga teratas Kumpulan A biarpun sekadar seri pada perlawanan ke-12 saingan Piala Belia 2016, petang semalam selepas pencabar terdekat, Sabah tewas tatkala Felda United turut seri tetapi kekal di tangga teratas Kumpulan B.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah yang dibimbing Roshidi Shaari hampir berjaya membawa pulang tiga mata penuh sebelum jaringan pada masa kecederaan membolehkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian Khalid Shahdan mengikat kedudukan 2-2 di Gambang, Pahang.

 Namun Kedah menarik nafas lega apabila pencabar terdekat, Sabah gagal memintas kedudukan mereka di tangga teratas selepas skuad kendalian Jelius Ating itu tewas 1-0 kepada Perak di Stadium TLDM, Lumut.

 Selepas 12 perlawanan, Kedah kini mengumpul 29 mata manakala Sabah di tangga kedua dengan 27 mata.

 Juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat yang kurang satu perlawanan, kekal di tangga ketiga dengan 24 mata selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan tercorot, Perlis di Stadium Mini UiTM Arau.

 Pulau Pinang pula mengukuhkan kedudukan di tangga keempat selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot, Sarawak di Stadium Negeri, Kuching untuk kini mengumpul 21 mata diekori rapat Perak di tangga kelima dengan 20 mata.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan pasukan tangga kelapan, Negeri Sembilan berjaya menewaskan Pahang 2-1 di Padang Majlis Daerah Pekan untuk kini terikat 13 mata dengan pasukan tangga ketujuh itu.

 Sementara itu, bagi Kumpulan B, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian nyaris tewas sebelum jaringan lewat membolehkan mereka mengikat Kuala Lumpur 2-2 di Stadium UPM, Serdang, pagi tadi.

 Perlawanan yang sepatutnya berlangsung petang semalam itu terpaksa ditunda ke pagi tadi kerana hujan lebat dan petir.

 Keputusan seri itu menyaksikan Felda United kekal di tangga teratas dengan 27 mata selepas beraksi 11 perlawanan manakala pencabar terdekat, SSMP B-16 kekal di tangga kedua dengan 22 mata.

 SSMP B-16 tidak beraksi semalam apabila perlawanan bertemu Kelantan telah dipinda ke 1 Jun 2016 kerana skuad bawah 16 tahun negara kendalian P Somasundram itu kini dalam persiapan menghadapi kejohanan jemputan Piala Belia B-16 Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) 2016 di Goa, India dari 15 hingga 25 Mei ini.

 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 yang kini di bawah sentuhan jurulatih baharu, Reduan Abdullah pula kekal di tangga ketiga dengan 21 mata selepas seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim IV di Padang D, MSN Bukit Jalil.

 Baki dua lagi perlawanan menyaksikan pasukan tangga ketujuh, Terengganu garang membelasah pasukan tercorot, ATM 5-1 di Padang Kem Terendak manakala Melaka kekal di tangga kelapan selepas menewaskan pasukan tangga kesembilan, MISC-MIFA 2-1 di Stadium Hang Tuah.

 Perlawanan ke-13 akan berlangsung pada Ahad ini, 15 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SARAWAK 0

PULAU PINANG 1

Mohamad Afif Azman 11'

 

PERAK 1

Mohammad Shafaiq Abdul Malek 19'

SABAH 0

 

PERLIS 1

Muhamad Aidil Firdaus Jamari 71'

SELANGOR 1

Muhammad Nor Iman Mazlan 32'

 

PAHANG 1

Zainal Abidin Hamzah 74'

NEGERI SEMBILAN 2

Muhammad Iskandar Noorisam 32' 77'

 

SSMP (B-17) 2

Mohamad Fahmi Sabri 2'

Muhammad Fikhri Zulkiflee 90+1'

KEDAH 2

Mohammad Ikhmal Ahmad 19'

Muhammad Azrie Reza Zamri 76'

 

KUMPULAN B

 

MELAKA 2

Mohammad Amarudin Azman 31'

Amirul Syafiq Abdul Rahim 35'

MISC-MIFA 1

B Puvaneswaran 24'

 

FELDA UNITED 2

Khairul Ezami Sulaiman 52'

Ahmad Daniel Ziadi 85'

KUALA LUMPUR 2

Aiman Harith Faruk 3'

Muhammad Hafidz Ahmad Kamarudin 60'

 

ATM 1

Mohammad Arasyh Syafiq Mohd Razif 89'

TERENGGANU 5

Muhammad Nur Isyraf Razali 6'

Muhammad Al Qaffi Ali 13'

Tuan Mohd Shahzam Tuan Sabar 32'

Amirul Syazwan Nor Azmi 45' (p)

Muhammad Hakimi Nuwawi 90+1'

 

SSBJ (B-17) 1

Muhamad Amirul Izzuddin Zulkarnain (gs) 90+4'

JDT IV 1

Mohamad Thaqif Fikri Md Khalid 88'

 

KELANTAN lwn SSMP B-16

(Dipinda ke 1 Jun 2016)