PIALA BELIA: KEDAH RAMPAS TERAJU, FELDA KEKAL REKOD MENANG

2016-03-10

Kedah berjaya merampas tangga teratas Kumpulan A selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tatkala Felda United terus garang menerajui Kumpulan B menerusi kemenangan ketiga berturut dengan membelasah ATM 5-0 di Padang Kem Terendak, Melaka pada hari perlawanan ketiga saingan Piala Belia 2016, petang semalam.

 Kejayaan Kedah kendalian Roshidi Shaari merampas kedudukan teratas itu dibantu keputusan seri tanpa jaringan membabitkan dua pasukan teratas sebelum ini, Pulau Pinang dan juara bertahan, Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

 Selepas tiga perlawanan, tiga pasukan teratas Kumpulan A - Kedah, Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tujuh mata tetapi dipisahkan jumlah perbezaan gol.

 Mereka diekori rapat Sabah dan Perak yang masing-masing berkongsi enam mata selepas meraih kemenangan kedua menewaskan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 di Stadium Penampang dan Perlis di Stadium UiTM Arau, masing-masing dengan jaringan sama 2-1.

 Pahang pula meraih kemenangan sulung musim ini dengan penuh bergaya selepas membelasah Sarawak 5-1 di Padang Majlis Daerah Pekan untuk kini mengumpul empat mata.

 Sementara itu, pada saingan Kumpulan B, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian terus kukuh di tangga teratas dengan sembilan mata maksimum selepas pesaing terdekat, Kelantan sekadar seri 1-1 dengan Melaka di Stadium Hang Jebat untuk barisan kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu mengumpul tujuh mata.

 Skuad SSMP B-16 kendalian P Somasundram yang tidak beraksi pada Ahad lalu mengekori di tangga ketiga selepas meraih kemenangan kedua menewaskan Johor Darul Ta’zim IV dengan jaringan 2-0 di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

 Dua lagi perlawanan berkesudahan seri 1-1 membabitkan pertembungan Terengganu dan MISC-MIFA di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak serta Kuala Lumpur bertemu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 di Stadium Mini UPM, Serdang.

Perlawanan keempat bakal berlangsung pada Ahad ini, 13 Mac 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

PAHANG 5

Noor Fahmizie Sabri 17’

Muhammad Nur Izzat Che Awang 38’ 51’

Mohamad Arisazri Juhari 53’

Muhammad Nor Amirul Muhd Nizam 69’

SARAWAK 1

Mohd Nazri Daud 26’

 

PERLIS 1

Afif Syahmi Mohd Shafie 90+4’

PERAK 2

Khairul Amizan Suhaimi 45’

Khairul Shafiq Mustaffa 79’

 

SELANGOR

PULAU PINANG 0

 

NEGERI SEMBILAN 0

KEDAH 2

Ahmad Firdaus Ismail 67’

Azrie Reza Zamri 84’

 

SABAH 2

Stanley Sulong 56’ 89’ (p)

SSMP (B-17) 1

Naufal Irfan Norzam 65’

 

KUMPULAN B

 

MELAKA 1

Muhamad Izzat Sino 88’

KELANTAN 1

Muhamad Rafie Mat Yaacob 62’

 

ATM 0

FELDA UNITED 5

Ahmad Zulhilmi Januaal 15’ 44’ 66’

Syahmi Aiman Mohd Zaki 27’

Saifuddin Khairil Anuar 53’

 

TERENGGANU 1

Muhammad Hakimi Nuwawi 6’

MISC-MIFA 1

Muhammad Haiqal Johari 75’

 

SSMP (B-16) 2

Muhammad Izreen Izwandy 16’ 70’

JDT IV 0

 

KUALA LUMPUR 1

Aiman Harith Faruk 2'

SSBJ (B-17) 1

Syaiful Alias 45+1