PIALA BELIA: SABAH PASUKAN KEDUA SAH KE SUKU AKHIR

2016-08-11

Pendahulu Kumpulan A, Sabah muncul pasukan kedua berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Belia 2016 selepas seri 0-0 dengan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang pada hari perlawanan ke-16, petang semalam.

 Dengan 33 mata dikumpul setakat ini, skuad kendalian Jelius Ating itu sudah tidak mampu dipintas Perak di tangga kelima dengan 25 mata selepas berjaya menewaskan Perlis 4-1 di Stadium TLDM, Lumut untuk merampas kedudukan Pahang yang tewas 2-0 kepada Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

 Juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat kekal di tangga kedua tetapi belum dapat mengesahkan tempat ke suku akhir selepas tewas 1-0 kepada pasukan tangga keempat, Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.

 Kedah turut terlepas peluang apabila tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Mini Jitra untuk kekal di tangga ketiga.

 Selangor yang mengumpul 31 mata memerlukan satu saja lagi mata daripada baki dua perlawanan untuk sah ke suku akhir manakala Kedah dengan 30 mata hanya memerlukan dua mata lagi.

 Pulau Pinang, Perak dan Pahang di tangga keempat, kelima dan keenam turut masih berpeluang untuk mengisi slot empat teratas kumpulan ke suku akhir.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, tiga pasukan - Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17, Kelantan dan Terengganu mencatat kemenangan selesa untuk mencerahkan peluang ke suku akhir.

 Dua pasukan teratas, SSMP B-16 kendalian P Somasundram dan Felda United bimbingan Ahmad Shahrul Azhar Sofian  tidak beraksi dengan SSMP B-16 sudah pun layak ke suku akhir, Ahad lalu manakala Felda United hanya memerlukan satu mata lagi untuk layak.

 SSBJ B-17 kendalian Reduan Abdullah mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga selepas mudah membelasah Kuala Lumpur 5-1 di Padang D, MSN, Bukit Jalil untuk kini hanya memerlukan dua mata lagi untuk layak ke suku akhir.

 Kelantan kekal di tangga keempat selepas membelasah Melaka 5-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu manakala Terengganu memintas kedudukan Johor Darul Ta'zim (JDT) IV di tangga kelima selepas mudah menundukkan MISC-MIFA 4-0 di Padang A, UKM, Bangi.

 Dua perlawanan telah dipinda ke tarikh lain iaitu aksi Felda United bertemu ATM dan JDT IV bertemu SSMP B-16.

 Perlawanan seterusnya bagi saingan Piala Belia 2016 iaitu hari perlawanan ke-17 akan berlangsung pada Ahad ini, 14 Ogos 2016.

 Namun satu perlawanan yang dipinda sebelum ini, SSMP B-16 bertemu SSBJ B-17 akan berlangsung di Gambang, petang esok (Jumaat, 12 Ogos 2016).

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SARAWAK 2

Sulaiman Jamali 29'

Mohd Nazri Daud 47'

PAHANG 0

 

PERAK 4

Ahmad Nazreen Zahrul Lail 18'

Mohamad Arshad Mazlan 31' 70'

Muhammad Nazmi Ahmad 81'

PERLIS 1

Muhamad Yuhazuwan Muktar (gs) 61'

 

PULAU PINANG 1

Muhammad Danish Afiq Md Desa 61'

SELANGOR 0

 

KEDAH 0

NEGERI SEMBILAN 1

Khairul Anuar Yusri Lani 61'

 

SSMP (B-17) 0

SABAH 0

 

KUMPULAN B

 

KELANTAN 5

Muhamad Rafie Mat Yaacob 17' 60'

Lokman Hakim Saifuddin 20'

Muhammad Danial Haqim Draman 37'

Muhammad Aniq Arami Ismail 69'

MELAKA 1

Muhammad Aidillnizam Abd Samad 85'

 

MISC-MIFA 0

TERENGGANU 4

Amirul Syazwan Nor Azmi 48' 60'

Tuan Mohd Shahzam Tuan Sabar 63'

Muhammad Haziq Fauzi 90+2'

 

SSBJ (B-17) 5

Nik Akif Syahiran Nik Mat 9'

Awang Muhammad Faiz Haziqq Awang Fathi 19'

Muhammad Azhar Apandi 44'

Muhammad Nurfais Johari 57'

Mohamad Arieffahmie Mohd Azam 90+2'

KUALA LUMPUR 1

Mohd Hafifi Bin Mohd Salleh 14'

 

FELDA UNITED lwn ATM

(Dipinda ke 17 Ogos)

 

JDT IV lwn SSMP B-16

(Dipinda ke 18 Ogos)