PIALA BELIA: SABAH PINTAS KEDAH, FELDA UNITED JARAK MATA

2016-05-23

Sabah berjaya merampas tangga teratas Kumpulan A daripada Kedah pada perlawanan ke-14 saingan Piala Belia 2016, petang semalam tatkala Felda United kembali meraih mata penuh untuk menjarakkan jurang mata di tangga teratas Kumpulan B.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kedah yang dibimbing Roshidi Shaari terpaksa merelakan kedudukan tangga teratas dirampas Sabah selepas mereka tewas 2-1 kepada skuad kendalian Jelius Ating itu pada aksi yang berlangsung di Stadium Mini Jitra.

 Keputusan itu menyaksikan Sabah kini di tangga teratas dengan 31 mata diikuti Kedah di tangga kedua dengan 30 mata.

 Juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat pula gagal merapatkan jurang mata apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, Sarawak di Stadium Negeri, Sarawak untuk kekal di tangga ketiga dengan 25 mata, namun kurang dua perlawanan.

 Pulau Pinang kekal di tangga keempat dengan 23 mata selepas seri 1-1 dengan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 di Gambang manakala Perak kekal di tangga kelima dengan 21 mata selepas seri 0-0 dengan Negeri Sembilan di Stadium TLDM, Lumut.

 Pahang pula kekal di tangga keenam tetapi berjaya memperbaiki kedudukan mata selepas mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas pasukan tercorot, Perlis di Stadium Mini UiTM, Arau untuk kini mengumpul 19 mata, namun kurang satu perlawanan.

 Sementara itu, bagi Kumpulan B, Felda United yang dibimbing Ahmad Shahrul Azhar Sofian kembali meraih mata penuh selepas dua perlawanan berturut sekadar seri.

 Felda United berjaya menewaskan pasukan kedua tercorot, MISC-MIFA 2-0 di Stadium Mini UPM, Serdang, Rabu lalu pada perlawanan yang disambung pada minit ke-53 selepas tertangguh akibat hujan lebat dan ribut petir, 7 Mei lalu.

 Namun mereka tidak beraksi petang semalam selepas perlawanan menentang SSMP B-16 telah pun dipinda jadualnya ke 29 Mei 2016 dan Felda United masih kekal teratas dengan 31 mata selepas beraksi 13 perlawanan.

 SSMP B-16 kekal di tangga kedua dengan 22 mata tetapi baru beraksi 10 perlawanan manakala Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 turut kekal di tangga ketiga dengan 21 mata selepas beraksi 11 perlawanan apabila perlawanan menentang MISC-MIFA telah pun dipinda tarikhnya ke 5 Jun 2016.

 Johor Darul Ta'zim (JDT) IV gagal merapatkan jurang mata apabila sekadar seri 2-2 dengan Kuala Lumpur di Stadium UTM, Skudai pada perlawanan yang diawalkan ke Jumaat lalu untuk kekal di tangga keempat dengan 21 mata selepas beraksi 14 perlawanan.

 Kelantan pula garang membelasah pasukan tercorot, ATM 5-0 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur untuk kekal di tangga kelima dengan 20 mata.

 Terengganu bertukar kedudukan dengan Melaka selepas menewaskan lawan itu 1-0 di Stadium Hang Tuah untuk merampas tangga ketujuh dengan mengumpul 18 mata, tiga mata mengatasi Melaka yang turun ke tangga kelapan.

 Saingan Piala Belia akan berehat panjang untuk memberi laluan kepada bulan Ramadan dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak dengan perlawanan seterusnya iaitu perlawanan ke-15 akan berlangsung pada Ahad, 7 Ogos.

 Namun terdapat lima perlawanan yang dipinda jadualnya sebelum ini akan berlangsung sepanjang minggu ini dan minggu depan bagi melengkapkan jumlah perlawanan yang masih tertinggal membabitkan pasukan Felda United, SSMP B-16, Kuala Lumpur, Kelantan, ATM, SSBJ B-17 dan MISC-MIFA.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

SARAWAK 1

Amirul Shafizan Mohamad Safri 15'

SELANGOR 1

Muhammad Hafizuddin Md Zuki 90'

 

PERAK 0

NEGERI SEMBILAN 0

 

PERLIS 0

PAHANG 4

Muhammad Zulhisyam Zulkifli 6'

Muhammad Nor Amirul Muhd Nizam 9' (p) 85' (p)

Muhammad Nur Izzat Che Awang 59'

 

KEDAH 1

Mohammad Alif Romli 68'

SABAH 2

Ariusdius Jais 39' 63'

 

SSMP (B-17) 1

Mohamad Fahmi Sabri 90+1'

PULAU PINANG 1

Muhamad Danial Arifin 77'

 

KUMPULAN B

 

MELAKA 0

TERENGGANU 1

Amirul Syazwan Nor Azmi 81'

 

ATM 0

KELANTAN 5

Muhammad Aniq Arami Ismail 47' 51'

Muhamad Rafie Mat Yaacob 80' 87'

Mohammad Ramani Nabil Roslan 84'

 

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 2

Mohamad Firdaus Abd Jabar 6'

Mohamad Khairullah Abdullhalim 63'

KUALA LUMPUR 2

Muhammad Haziq Iskandar Khalid 23'

P Raaj Barathy 78'

(Perlawanan diawalkan pada Jumaat, 20 Mei 2016)

 

FELDA UNITED lwn SSMP (B-16)

(Perlawanan dipinda ke 29 Mei 2016)

 

SSBJ (B-17) lwn MISC-MIFA

(Perlawanan dipinda ke 5 Jun 2016)

 

PERLAWANAN DISAMBUNG SELEPAS TERTANGGUH

RABU, 18 MEI 2016

 

MISC-MIFA 0

FELDA UNITED 2

Ahmad Daniel Ziadi (p) 78'

Saifuddin Khairil Anuar 87'