PIALA BELIA: SABAH TERUS KEJAR KEDAH; FELDA UNITED KEKAL PENDAHULU

2016-05-09

Kedah terus kekal berkelebihan satu mata berbanding Sabah di tangga teratas Kumpulan A selepas kedua-dua pasukan itu berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan ke-11 saingan Piala Belia 2016, petang semalam tatkala hanya dua aksi Kumpulan B berlangsung menyaksikan Felda United kekal teratas.

 Bagi Kumpulan A, Kedah yang dibimbing Roshidi Shaari mencatat kemenangan kesembilan musim ini apabila mudah menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Mini Jitra untuk kini mengumpul 28 mata.

 Namun kedudukan mereka tidak begitu selesa apabila terus dikejar Sabah kendalian Jelius Ating yang tampil garang membelasah pasukan tercorot, Perlis 6-0 di Stadium Penampang, Kota Kinabalu untuk mengumpul 27 mata.

 Juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat kekal di tangga ketiga dengan 23 mata selepas pertemuan dengan Pahang di Padang SUK, Shah Alam hanya sempat berlangsung selama enam minit sebelum terpaksa ditangguhkan terus ke tarikh lain akibat hujan lebat dan petir.

 Pulau Pinang terlepas peluang untuk meraih mata penuh apabila kekal di tangga keempat dengan 18 mata apabila sekadar seri 1-1 di Stadium Bandaraya dengan pasukan tangga kelima, Perak yang kini mengumpul 17 mata.

 Satu lagi perlawanan menyaksikan pasukan tangga keenam, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-17 kendalian Khalid Shahdan tewas 1-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian terus kekal di tangga teratas dengan 26 mata meskipun pertembungan dengan MISC-MIFA di Stadium Mini UPM, Serdang pada Sabtu hanya sempat berlangsung sehingga minit ke-52 dengan kedudukan 0-0 dan terpaksa disambung ke tarikh lain kerana hujan lebat dan petir.

 Dua pencabar terdekat, SSMP B-16 dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 yang sepatutnya bertembung sesama sendiri turut tidak beraksi apabila perlawanan tersebut telah pun ditunda ke 31 Julai 2016 kerana SSMP B-16 kendalian P Somasundram menyertai kejohanan jemputan AIFF B-16 di Goa, India dari 12 hingga 26 Mei.

 Pasukan tangga keempat, Kelantan gagal merapatkan jurang dengan tiga pasukan teratas itu selepas tewas 2-1 kepada Terengganu di Padang Rumput Tiruan, Kompleks Sukan Gong Badak.

 Pasukan tangga keenam, Johor Darul Ta'zim IV pula berjaya meraih kemenangan kelima selepas menewaskan Melaka 1-0 di Stadium UTM, Skudai.

 Satu lagi perlawanan iaitu pasukan tangga kelima, Kuala Lumpur bertemu pasukan tercorot, ATM di Stadium Mini UPM, Serdang yang tidak dapat dimulakan kerana hujan lebat dan petir turut telah ditangguhkan ke tarikh lain.

 Perlawanan ke-12 akan berlangsung pada Rabu ini, 11 Mei 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

NEGERI SEMBILAN 1

Muhammad Hafizie Erwinshah 61'

SSMP (B-17) 0

 

SABAH 6

Mohd Aidil Shahrolmizan Asimin 4'

Ariusdius Jais 45+1' 58'

Hamran Peter 46' 72'

Nuzul Amirin Khairul Anuar (gs) 47'

PERLIS 0

 

PULAU PINANG 1

Muhammad Azam Abd Halim 32'

PERAK 1

Nor Syafiq Syazwan Abdul Rahman 1'

 

KEDAH 3

Muhammad Azrie Reza Zamri 26' 90'

Mohammad Alif Romli 81'

SARAWAK 0

 

SELANGOR lwn PAHANG

(Perlawanan dihentikan pada minit ke-6 kerana hujan lebat & petir dan ditangguhkan terus ke tarikh lain)

 

KUMPULAN B

 

TERENGGANU 2

Muhammad Al Qaffi Ali 5'

Muhammad Nur Isyraf Razali 44'

KELANTAN 1

Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni 88'

 

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 1

Mohamad Firdaus Abd Jabar 26'

MELAKA 0

 

K LUMPUR lwn ATM

(Perlawanan tidak dapat dimulakan kerana hujan lebat & petir dan ditangguhkan terus ke tarikh lain)

 

MISC-MIFA lwn FELDA UNITED

(Perlawanan dihentikan pada minit ke-52 kerana hujan lebat & petir dan ditangguhkan terus ke tarikh lain)

 

SSMP B-16 lwn SSBJ B-17

(Perlawanan telah dipinda ke 31 Julai 2016)