PIALA BELIA: SSBJ B-17 JINAKKAN SELANGOR DI LAMAN SENDIRI

2016-10-17 

Skuad Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah berjaya menumpaskan Selangor 1-0 pada aksi final pertama saingan Piala Belia 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-69 menerusi jaringan penyerang berusia 17 tahun, Zafuan Azeman yang tenang menyudahkan peluang di hadapan gol untuk menewaskan penjaga gawang Selangor, Aqil Fadhly Mohd Yusof.

Usaha pasukan Merah Kuning yang juga juara bertahan kejuaraan tersebut mencari gol penyamaan bagaimanapun menemui jalan buntu untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan itu membolehkan SSBJ mendapat bekalan berharga di tempat lawan untuk aksi timbal balik yang akan berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya, 23 Oktober ini.

KOMEN KETUA JURULATIH SELANGOR, NOOR ZAIDI ROHMAT

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, walaupun SSBJ merupakan pasukan yang terdiri daripada pemain-pemain berusia 17 tahun, mereka adalah pasukan yang bagus.

“Pasukan kita mempunyai peluang yang banyak namun tidak berjaya untuk menyudahkannya. Bagaimanapun, secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain saya. InsyaAllah, kita akan perbaiki kelemahan dari segi penyudah untuk perlawanan kedua nanti.

“Ya, saya akui bahawa saya terpaksa membuat beberapa rombakan pada saat akhir kerana kecederaan. Alhamdulillah, pemain-pemain telah memberi yang terbaik Cuma kita tidak berjaya untuk menjaringkan gol.”

KOMEN KETUA JURULATIH SSBJ B-17, REDUAN ABDULLAH

“Bagi pandangan saya, walaupun kita berjaya mencapai kemenangan 1-0, keputusan malam ini masih lagi belum memuaskan kerana kita masih ada satu lagi perlawanan.

“Perlawanan tadi cukup seimbang di mana pasukan Selangor turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tetapi pasukan kita berjaya memanfaatkan peluang.

“Bagaimanapun, saya lihat barisan pertahanan kita agak lemah manakala barisan serangan pula tidak begitu menjadi malam ini. Jadi, kita akan cuba perbaiki kelemahan-kelemahan ini dalam tempoh seminggu untuk hadapi Selangor pada aksi perlawanan kedua.”