PIALA BELIA: SSMP B-16 PASUKAN PERTAMA KE SUKU AKHIR

2016-08-08

Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B-16 berjaya merampas tangga teratas Kumpulan B, sekali gus muncul pasukan pertama layak ke suku akhir Piala Belia 2016 selepas menewaskan Melaka 2-1 di Padang B, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang pada hari perlawanan ke-15, petang semalam.

 Pendahulu sebelum ini, Felda United kendalian Ahmad Shahrul Azhar Sofian terpaksa menangguhkan hajat untuk turut mengesahkan tempat ke suku akhir selepas aksi bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu ditangguh pada minit ke-73 ketika kedudukan terikat 0-0 kerana hujan lebat dan petir.

 SSMP B-16 yang dibimbing P Somasundram kini di tangga teratas dengan 32 mata diikuti Felda United dengan 31 mata dan hanya memerlukan satu mata lagi untuk sah ke suku akhir. Kedua-dua pasukan baru beraksi 14 perlawanan.

 Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) B-17 kendalian Reduan Abdullah pula mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga selepas mudah membelasah pasukan tercorot, ATM 4-0 di Stadium Mindef, Kuala Lumpur untuk kini mengumpul 27 mata, meninggalkan Kelantan di tangga keempat dengan 22 mata.

 Kuala Lumpur kekal di tangga kelima selepas tewas 2-1 kepada pasukan kedua tercorot, MISC-MIFA di Stadium Mini UPM, Serdang manakala Terengganu seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim IV di Padang Sintetik, Kompleks Sukan Gong Badak.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan A, pendahulu Sabah bimbingan Jelius Ating masih belum dapat mengesahkan tempat ke suku akhir selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan tangga keempat, Pulau Pinang di Stadium Penampang, Kota Kinabalu.

 Juara bertahan, Selangor kendalian Noor Zaidi Rohmat pula berjaya merampas tangga kedua daripada Kedah selepas menewaskan pasukan berkenaan 3-1 di Padang SUK, Shah Alam.

 Berbaki tiga perlawanan, Sabah masih di tangga teratas dengan 32 mata, memerlukan satu mata saja lagi untuk sah ke suku akhir dan diikuti Selangor di tangga kedua dengan 31 mata, Kedah 30 mata dan Pulau Pinang 24 mata.

 Pahang dan Perak masing-masing kekal di tangga kelima dan keenam dengan 23 dan 22 mata selepas kedua-duanya seri 1-1 di Padang Majlis Daerah Pekan.

 Dua lagi perlawanan menyaksikan SSMP B-17 menewaskan pasukan tercorot, Perlis 2-0 di Stadium Mini UiTM Perlis, Arau manakala Sarawak menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Perlawanan ke-16 akan berlangsung pada Rabu ini, 10 Ogos 2016 disusuli dua baki perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 14 dan 21 Ogos ini.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

PERLIS 0

SSMP (B-17) 2

Farhan Kamaruddin (gs) 14'

Muhammad Amirul Nizam Mohd Azmi 55'

 

PAHANG 1

Muhammad Nur Izzat Che Awang 62'

PERAK 1

Khairul Shafiq Mustaffa 54'

 

NEGERI SEMBILAN 1

Muhammad Nabil Azizul 34'

SARAWAK 2

Raymond Ero 29'

Mohd Nazri Daud 69'

 

SELANGOR 3

M Kalaiarasan 19'

Muhamad Fareez Mohd Jeffery 39'

D Kugan 42'

KEDAH 1

Muhammad Zulhafizi Zamri 50'

 

SABAH 1

Stanley Sulong 60'

PULAU PINANG 1

Muhammad Danish Afiq Md Desa (P) 54'

 

KUMPULAN B

 

ATM 0

SSBJ (B-17) 4

Muhammad Al Aiman Mohd Zaini 3'

Asmaie Alias 16'

Muhammad Nurfais Johari 27'

Muhamad Nazirul Hasif Mallang 90+1'

 

KELANTAN lwn FELDA UNITED

(Perlawanan ditangguh selepas terhenti pada minit ke-73 kerana hujan lebat & petir dengan kedudukan semasa 0-0)

 

SSMP (B-16) 2

Arif Shaqirin Suhaimi 4'

Arham Khussyairi Abd Wahab 62'

MELAKA 1

V Vishnu Naiker 37'

 

TERENGGANU 1

Muhammad Nur Isyraf Razali 8'

JOHOR DARUL TA'ZIM IV 1

R Linkeswar 48'

 

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Alif Aiman Mohd Rashid (P) 87'

MISC-MIFA 2

K Darwinrajoo 46'

Muhammad Haiqal Johari 58'