PIALA FAM 2017: UKM FC, SHAHZAN MUDA, SIME DARBY & FELCRA RAIH SLOT KE SEPARUH AKHIR

2017-09-28

Juara Kumpulan A, UKM FC dan juara Kumpulan B, Sime Darby FC meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala FAM 2017 selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir kedua, semalam sambil diiringi dua lagi pasukan, Felcra FC dan Shahzan Muda FC.

 Di Stadium Mini UKM, Bangi, pasukan tuan rumah bimbingan Sulaiman Hussin tetap berjaya meneruskan kemaraan biarpun tewas 1-0 kepada Kuching FA kendalian Lucas Kalang Laeng berbekal kemenangan 2-0 pada aksi pertama di tempat lawan, 19 September lalu untuk UKM FC mara menerusi agregat 2-1.

 Di Padang Bukit Jelutong, Shah Alam, pasukan Sime Darby FC kendalian Ahmad Yusoff yang menang 1-0 pada aksi di tempat lawan nyata bukan tandingan MOF FC bimbingan S Balachandran apabila tuan rumah menang mudah 4-1 untuk melangkah bergaya ke separuh akhir dengan agregat 5-1.

 Di Stadium Arena UM, Kuala Lumpur, semifinalis musim lalu, Felcra FC kendalian Rosle Md Derus yang mengikat Terengganu City bimbingan Roshadi Wahab 1-1 pada aksi pertama di Kuala Terengganu berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 untuk mara dengan agregat 2-1.

 Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pasukan yang gagal ke peringkat kalah mati musim lalu, Shahzan Muda FC bimbingan Tajuddin Nor mencipta kejutan menyingkirkan pasukan semifinalis musim lalu, PJ Rangers kendalian Mohd Zan Mat Aris menerusi agregat 3-1 selepas mencatat kemenangan tipis 1-0.  Pada aksi pertama di Temerloh, Shahzan Muda FC menang 2-1.

 Separuh akhir pertama bakal berlangsung pada Isnin ini (2 Oktober) dengan Shahzan Muda FC menanti kunjungan UKM FC manakala Felcra FC menerima kehadiran Sime Darby FC. Aksi timbal balik separuh akhir kedua dijadual pada Ahad, 8 Oktober ini.

KREDIT FOTO: TERENGGANU CITY FC (FACEBOOK & TWITTER

 

KEPUTUSAN SUKU AKHIR 2

RABU, 27 SEPTEMBER 2017

 

UKM FC 0

KUCHING FA 1

Sufizal Ismail 12'

* UKM FC menang agregat 2-1

 

PJ RANGERS FC 0

SHAHZAN MUDA FC 1

Rifaie Awang Long 85'

* Shahzan Muda FC menang agregat 3-1

 

SIME DARBY FC 4

A Segar 42' Zul Fahmi Awang 49' 75' Nazrul Kamaruzaman 63'

MOF FC 1

Razle Putih 89'

* Sime Darby FC menang agregat 5-1

 

FELCRA FC 1

Firdaus Azizul 37'

TERENGGANU CITY FC 0

* Felcra FC menang agregat 2-1