PIALA FAM: AIRASIA ALLSTARS FC SASAR LAYAK KE LIGA PREMIER

2016-02-24

Skuad AirAsia Allstars FC (AAFC) di bawah kendalian jurulatih, Nidzam Jamil mencuri tumpuan kali ini dan sekaligus dilabel pasukan pilihan apabila menampilkan pemain-pemain berpengalaman yang pernah beraksi di kancah Liga Super dan Liga Premier.

“Sasaran AAFC ialah untuk layak ke Liga Premier musim hadapan. Walau bagaimanapun, kita perlu bijak dan mengambil fokus satu perlawanan pada satu masa,” kata Nidzam kepada www.fam.org.my, hari ini.

Menyentuh mengenai persiapan bagi menghadapi musim baharu Piala FAM, Nidzam yang membantu Putrajaya SPA FC menjulang Liga FAM pada tahun 2012, berkata pasukannya sudah bersedia bagi aksi sulung menentang Shahzan Muda di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

“Kita sudah menjalani 6 hingga 7 minggu persediaan pra-musim di mana saya berpuas hati dengan persiapan yang telah dilalui dan para pemain cukup berkobar-kobar untuk membuka tirai musim baharu Piala FAM," katanya.

Antara pemain-pemain berpengalaman yang menjadi taruhan AAFC pada musim ini ialah penjaga gol Syamsuri Mustafa, 35, Hasmarul Fadzir Hassan, 30, Mohd Fairuz Abdul Aziz, 31, Zamri Morshidi, 33, Hafiszuan Salehuddin, 29, Zamri Hassan, 35, Syamsol Sabtu, 31, Khyril Muhymeen Zambri, 29, Badrul Hisani Abd Rahman, 32, Hazwan Rahman, 26, dan Reeshafiq Alwi, 34.

Pada aksi pusingan kedua Piala FA 2016 yang berlangsung Sabtu lepas, AAFC berjaya memberikan saingan selama 70 minit kepada pasukan naib juara Liga Super dan juara bertahan Piala Malaysia musim lepas, Selangor sebelum tewas 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

“Kita boleh jadikan persembahan menentang Selangor sebagai pemangkin bahawa kita mampu untuk memberi saingan walaupun menentang sebuah pasukan gergasi bola sepak Malaysia,” tegas Nidzam.

Jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan itu turut mengakui bahawa saingan liga divisyen tiga pada musim ini lebih hebat berbanding tahun sebelumnya kerana pasukan-pasukan lebih komited untuk memantapkan pasukan masing-masing

“Jika dibandingkan dengan musim-musim lepas, Piala FAM kini mempunyai pasukan-pasukan yang berbelanja untuk memperkuatkan pasukan seperti Felcra FC dan pasukan Kementerian Kewangan (MOF FC) yang mana pasti akan menjanjikan saingan lebih sengit lagi,” jelas bekas pemain pertahanan Selangor itu.

Ditanya mengenai tahap kecergasan pemain bintang, Khyril Muhymeen Zambri, Nidzam berkata: “Khyril sekarang berada di fasa ‘recovery’ yang akan mengambil masa 2 minggu. Sasaran kami adalah untuk dia mencapai kecergasan penuh bagi perlawanan ketiga menentang Penjara FC, 9 Mac ini.”

AAFC telah diundi dalam Kumpulan A saingan Piala FAM 2016 bersama naib juara Kumpulan B Liga FAM musim lepas, MISC-MIFA, Persatuan Bolasepak Ipoh, Megah Murni FC, Sungai Ara FC, Felcra FC, DYS FC, Shahzan Muda FC dan Penjara FC.

FOTO KREDIT: ASIANA.MY