PIALA FAM: MISC-MIFA, FELCRA FC & MOF FC SAH KE SUKU AKHIR

2016-08-11

MISC-MIFA, Felcra FC dan Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) muncul pasukan terbaharu untuk layak ke suku akhir saingan Piala FAM 2016, semalam.

Berbekal 30 mata, pendahulu Kumpulan A, MISC-MIFA dan pasukan tangga kedua, Felcra FC mengesahkan slot ke suku akhir setelah tidak mampu lagi dipintas oleh pasukan tangga kelima, Shahzan Muda FC yang mengumpul 22 mata dengan saingan masih lagi berbaki dua perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam, skuad Felcra FC kendalian Yusri Che Lah tewas mengejut 1-0 kepada pasukan tangga keempat, Sungai Ara FC.

AirAsia Allstars FC bimbingan P Maniam pula mengutip tiga mata berharga setelah menumpaskan pasukan tangga ketujuh, Penjara FC 2-1 di Stadium Shah Alam untuk kekal menghuni tangga ketiga dengan 26 mata.

Keputusan semalam turut menyaksikan tiga pasukan; AirAsia Allstars FC, Sungai Ara FC dan Shahzan Muda FC akan berentap memburu dua slot suku akhir untuk mengiringi MISC-MIFA dan Felcra FC ke pusingan kalah mati.

Pada satu lagi perlawanan Kumpulan A, pasukan tangga kelapan, Persatuan Bolasepak Ipoh dan pasukan tangga keenam, Megah Murni FC terpaksa akur berkongsi mata setelah seri 2-2 di Stadium Mini Manjung, Perak.

Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, MOF FC berjaya layak ke suku akhir selepas menumpaskan Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC) 2-0 di Stadium INSPEN, Bangi, malam tadi.

Kemenangan selesa tersebut membolehkan pasukan yang dikendali oleh Zahasmi Ismail itu untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan B dengan mengumpul 23 mata mengatasi SAMB FC yang juga sudah layak ke suku akhir di tangga ketiga dengan 21 mata.

Di persada liga, Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) meneruskan dominasi dengan mengumpul 27 mata setelah mengutip kemenangan 3-2 ke atas pasukan tangga ketujuh, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia di  Stadium Perak, Ipoh.

Saingan merebut slot terakhir untuk ke pusingan kalah mati Kumpulan B juga semakin sengit setelah Kelab Bolasepak Kadazan Murut Malaysia (KDMM FC) menewaskan MPKB-BRI UBES FC 2-0 di Stadium Keningau, Sabah dan UKM FC meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Hanelang FC di Stadium UKM, Bangi.

KDMM FC kini menghuni tangga keempat dengan mengumpul 19 mata daripada 13 perlawanan tatkala UKM FC di tangga kelima dengan 14 mata daripada 12 perlawanan.

Perlawanan seterusnya bagi Piala FAM 2016 akan berlangsung Ahad ini, 14 Ogos 2016.

KEPUTUSAN PENUH

 

KUMPULAN A

 

PB IPOH 2

Muhammad Hasnan Mat Isa 73’

V Patmanathan 79’

MEGAH MURNI FC 2

Terence Marieselvam 38’

Nur Adli Effandi Mohd Pauzee 90’+3

 

AIRASIA ALLSTARS FC 2

Muhammad Zamri Hassan 17’

Mohd Kyril Muhaymeen Zamri 39’

PENJARA FC 1

Renide Acho 62’

 

FELCRA FC 0

SG ARA FC 1

Muhammad Asyraf Zainol Abidin 24’

 

KUMPULAN B

 

 

UKM FC 2

Al Amin Abdullah 81’

Faiz Mohd Bandong 88’

HANELANG FC 1

Mohamad Zawawi Mat Arif 87’

 

KDMM FC 2

Yazili Yunat 38’

Hilter Stephenius Salaw 52’

MPKB-BRI UBES FC 0

 

PKNP FC 3

Muhammad Shahrel Fikry Fauzi 17’ 33’ 63’

PB MELAYU MALAYSIA 2

Muhamad Hazim Mohamad 39’ 41’

 

MOF FC 2

Rudie Ramli 14’ 68’

SAMB FC 0