PIALA FAM: MISC-MIFA JANGKA SAINGAN SENGIT

2016-02-25 

Biarpun berjaya membantu MISC-MIFA untuk muncul naib juara Kumpulan B Liga FAM 2015, ketua jurulatih, Jacob Joseph memilih untuk bersikap realistik dan hanya mensasarkan kedudukan lima teratas setelah kehilangan ramai pemain tonggak pasukan.

“Tahun ini, hanya enam orang pemain sahaja kekal bersama MISC-MIFA daripada musim lepas manakala pasukan-pasukan lain seperti Felcra FC dan AirAsia Allstars FC (AAFC) mempunyai peruntukan yang lebih tinggi berbanding kita untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

“Sasaran saya sebagai jurulatih ialah kedudukan lima teratas. Piala FAM kali ini berbeza dengan musim lepas kerana kita telah diundi dalam kumpulan yang sukar serta pasukan kita pula terdiri daripada pemain-pemain muda yang rata-ratanya di bawah usia 23 tahun,” ulas Jacob kepada www.fam.org.my, hari ini.

Persiapan MISC-MIFA untuk mengharungi Piala FAM musim ini diberi nafas baharu dengan kehadiran bekas pemain pertahanan kebangsaan, Yosri Derma Raju, 33, dan bekas pemain tengah pasukan remaja kelab Liga Divisyen Satu Inggeris, Queens Park Rangers (QPR), Ash Hameed, 18.

“Ash seorang pemain yang mempunyai kebolehan teknikal yang bagus, tetapi dia masih lagi belum mencapai tahap yang kita mahukan. Saya lihat dia masih memerlukan masa untuk menyesuaikan dirinya,” jelas Jacob.

Diminta mengulas mengenai aksi pembuka tirai menentang PB Ipoh yang dibarisi bekas penyerang Perak dan Selangor, R. Surendren, bekas jurulatih pasukan wanita kebangsaan itu berkata: “Semestinya kita mahu mengutip tiga mata penuh, namun tekanan ada pada MISC-MIFA kerana pencapaian pada musim lepas.

“Bagi saya, peluang kita adalah 50/50 kerana PB Ipoh juga telah memperkuatkan pasukan. Buat masa ini, saya masih lagi mencari kesebelasan utama dengan kecederaan yang dialami penyerang, Muhammad Fauzi Abdul Kadar dan pemain sayap, Ooi She Keong ketika perlawanan persahabatan menentang Felda United.”

Jurulatih yang bakal genap berusia 58 tahun pada 9 Julai ini turut menjangkakan saingan yang lebih mantap di liga divisyen tiga musim ini.

“Kita dapat lihat peningkatan dari segi kualiti Piala FAM menerusi pusingan kedua Piala FA baru-baru ini di mana AirAsia Allstars FC dan Felcra FC berjaya memberi tentangan kepada pasukan-pasukan Liga Super,” tambah Jacob.

MISC-MIFA telah diundi dalam Kumpulan A saingan Piala FAM 2016 bersama AAFC, PB Ipoh, Megah Murni FC, Sungai Ara FC, Felcra FC, DYS FC, Shahzan Muda FC dan Penjara FC.