PIALA FAM: MISC-MIFA KEMBALI UNGGULI CARTA KUMPULAN A, MOF FC KEKAL DI PERSADA

2016-03-14

MISC-MIFA mengambil alih kedudukan selaku peneraju saingan Kumpulan A selepas menumpaskan Sungai Ara FC 2-0 di Stadium Mini USIM, Nilai, semalam.

Dengan kemenangan tersebut, skuad kendalian ketua jurulatih Jacob Joseph kini mengumpul sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan mengatasi pencabar terdekat, Felcra FC di atas kelebihan perbezaan gol.

Penyerang berusia 27 tahun, K. Ravindran muncul wira MISC-MIFA dengan dua gol pada minit ke-46 dan ke-82 setelah G. Thipenraj memecah kebuntuan seawal minit ke-6 perlawanan.

Di Stadium Mini Manjung, Perak, Persatuan Bolasepak Ipoh mencatat kemenangan ke atas Shahzan Muda FC menerusi dua gol jaringan V. Patmanathan pada minit ke-20 dan ke-85.

AirAsia Allstars FC (AAFC) pula mengutip kemenangan kedua berturut setelah menundukkan pasukan baharu musim ini, DYS FC 1-0 di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Jaringan kedua musim ini buat penyerang veteran, Zamri Morshidi pada minit ke-56 sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Nidzam Jamil itu meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Sementara itu, pendahulu Kumpulan B, MOF FC kekal terajui tangga teratas walaupun terikat seri 2-2 dengan Hanelang FC di Stadium INSPEN, Bangi.

Pasukan tuan rumah mendahului 2-1 pada babak pertama menerusi jaringan bekas pemain kebangsaan, Mohd Nizad Ayub pada minit ke-18 dan Mohd Ailim Fahmi Kamaruddin pada minit ke-32.

Walau bagaimanapun, pemain gantian, Nur Eqhwan Haffizy muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-93 bagi memolehkan Hanelang FC pulang dengan satu mata. Keputusan tersebut membolehkan MOF FC mengumpul 10 mata daripada empat perlawanan di hadapan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di tempat kedua dengan 7 mata. 

Di Stadium Keningau, Sabah, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia berjaya meraih kemenangan kedua musim ini setelah menewaskan pasukan baharu, Kelab Bolasepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) 3-1.

Pada satu lagi aksi Kumpulan B, UKM FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan MPKB-BRI UBES FC apabila seri 0-0 di Stadium Mini UKM, Bangi.

Perlawanan keempat bersambung minggu ini dengan Felcra FC menanti kunjungan Penjara FC (Isnin), SAMB FC bakal bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk menentang PKNP FC (Selasa) dan Shahzan Muda FC akan menentang MISC-MIFA (Rabu).

Saingan Piala FAM 2016 akan berehat selama dua minggu dan perlawanan kelima akan disambung semula pada Ahad, 3 April 2016.

FOTO KREDIT: MISC-MIFA
 
KEPUTUSAN PENUH SEMALAM
 
KUMPULAN A
 
MISC-MIFA 3
G. Thipenraj 6'
K. Ravindran 46' 82'
SUNGAI ARA FC 0
 
PB IPOH 2
V. Patmanathan 20' 85'
SHAHZAN MUDA FC 0
 
AIRASIA ALLSTARS FC 1
Zamri Morshidi 56'
DYS FC 0
 
KUMPULAN B
 
KDMM FC 1
Yazili Yunat 22'
PB MELAYU MALAYSIA 3
Muhd Hakim Zainal 1' 55'
Aikal Aiman Azlan 48'
 
UKM FC 0
MPKB-BRI UBES FC 0
 
MOF FC 2
Mohd Nizad Ayub 18'
Mohd Ailim Fahmi Kamaruddin 32'
HANELANG FC 2
Amirul Dzulkarnain Rawi 7'
Nur Eqhwan Haffizy 93'