PIALA FAM: MISC-MIFA, MOF FC KEKAL TERATAS

2016-03-07

Skuad MISC-MIFA kendalian jurulatih Jacob Joseph terus melebarkan rekod kemenangan apabila membenam Megah Murni FC 2-0 di Stadium Mini USIM, Nilai, semalam.

Kemenangan kedua itu menyaksikan pasukan berkenaan kekal menerajui saingan Kumpulan A dengan pemain tengah M. Yoges muncul wira menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-2 dan minit ke-88 menerusi sepakan penalti.

Di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, Sungai Ara FC melakar kejutan ke atas pasukan tuan rumah, AirAsia Allstars FC (AAFC) 2-1.

Tampil mendahului hasil jaringan bekas penyerang Sarawak dan MOF FC, Zamri Morshidi pada minit ke-10, derita AAFC bermula pada separuh masa kedua.

Al-Hafiz Aziz Jaafar dan Mohamad Syamim Alif Mohd Sobri menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada minit ke-61 dan minit ke-64 bagi membolehkan Sungai Ara FC menduduki tempat kedua saingan Kumpulan A.  

Felcra FC turut mencatat kemenangan kedua berturut dengan menewaskan Shahzan Muda FC 1-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka menerusi jaringan tunggal Muhammad Hafizi Mat Podzi pada minit ke-5.

Satu lagi perlawanan Kumpulan A, pendatang baharu, DYS FC terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Penjara FC apabila seri 0-0 di Kompleks Sukan Tawau.

Sementara itu, saingan Kumpulan B didahului pasukan Kementerian Kewangan (MOF FC) yang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas PB Melayu Malaysia di Stadium INSPEN, Bangi.

Kelebihan beraksi di tempat sendiri telah diambil sepenuhnya oleh skuad kendalian Zahasmi Ismail menerusi jaringan Wan Zaman Wan Mustapha (m-39), Mohd Halim Che Hassan (m-88) dan bekas pemain sayap kebangsaan, Mohd Nizad Ayub (m-90).

Di Stadium Mini UKM, Bangi, Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM FC) tewas 3-0 kepada skuad UKM FC. Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Faiz Mohd Bandong (m-22), Mohd Nazri Muslim (m-29) dan gol sendiri Mohd Ashrafi Abdan (m-30).

Hanelang FC menebus kekecewaan tewas kepada PB Melayu Malaysia pada perlawanan pertama dengan menundukkan SAMB FC 1-0 di laman sendiri menerusi jaringan Mohd Hasrosyawal Hamid pada minit ke-88.

Satu lagi aksi Kumpulan B menyaksikan PKNP FC menewaskan MPKB-BRI UBES FC 2-1 di Stadium Perak, Ipoh menerusi dua gol jaringan penyerang berusia 23 tahun, Hamizul Izaidi Zulkifli pada minit ke-28 dan minit ke-35.

FOTO KREDIT: MISC-MIFA

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM
 
KUMPULAN A
 
MISC-MIFA 2
M. Yoges 2' 88' (p)
MEGAH MURNI FC 0
 
AIRASIA ALLSTARS FC 1 
Zamri Morshidi 10'
SG ARA FC 2
Al-Hafiz Aziz Jaafar 61'
Mohamad Syamim Alif Mohd Sobri 64' 
 
FELCRA FC 1
Muhammad Hafizi Mat Podzi 5'
SHAHZAN MUDA FC 0
 
DYS FC 0
PENJARA FC 0
 
KUMPULAN B
 
MOF FC 3
Wan Zaman Wan Mustapha 39'
Mohd Halim Che Hassan 88'
Mohd Nizad Ayub 90'
PB MELAYU MALAYSIA 0
 
UKM FC 3
Faiz Mohd Bandong 22'
Mohamad Nazri Muslim 29'
Mohd Ashrafi Abdan 30' (gs)
KDMM FC 0
 
HANELANG FC 1
Mohd Hasrolsyawal Hamid 88'
SAMB FC 0
 
PKNP FC 2
Hamizul Izaidi Zulkifli 28' 35'
MPKB-BRI UBES FC 1
Rahmat Che Hashim 20'