PIALA FAM: MISC-MIFA PINTAS FELCRA FC

2016-04-21

MISC-MIFA berjaya meraih kemenangan 1-0 ke atas Felcra FC pada pertembungan dua pasukan teratas saingan Kumpulan A Piala FAM 2016 di Stadium Mini USIM, Nilai, semalam.

Penyerang, K Davindran muncul wira MISC-MIFA apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan yang menyaksikan skuad kendalian Jacob Joseph mengambil alih teraju kumpulan mengatasi Felcra FC di atas kelebihan jaringan gol.

Di Stadium Mini Manjong, Perak, penampilan sulung Khyril Muhymeen Zambri berjaya membantu AirAsia Allstars FC membenam Persatuan Bolasepak Ipoh 3-0 setelah meledak dua gol pada minit ke-73 dan 75 selepas Mohd Badrul Hisani Abdul Rahman memecah kebuntuan pada minit ke-58. Kemenangan itu membolehkan pasukan Red Jets melonjak ke tangga keempat dengan 10 mata.

Pasukan baharu, DYS FC pula mengutip tiga mata penuh pertama musim ini setelah menundukkan Megah Murni FC 1-0 di Kompleks Sukan BSN, Bangi menerusi jaringan tunggal pemain sayap, Fneckly Baris pada minit ke-45. Keputusan itu menyaksikan pasukan didikan Stanley Chew Boon Ming naik ke tangga kelapan tatkala Megah Murni FC turun ke tangga terakhir.

Sementara itu, Penjara FC turun satu anak tangga ke tangga kelima setelah terikat 1-1 dengan Shahzan Muda FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang. Pemain bek kiri Penjara FC, Muhd Adli Muhammad meletakkan skuad kendalian Abdul Rahim Abdullah di hadapan pada masa tambahan babak pertama sebelum Mohd Hariz Fazrin Mohd Nazri menyelamatkan satu mata buat pasukan tuan rumah pada minit ke-89.

FOTO KREDIT: MISC-MIFA

 

MISC-MIFA 1

K Ravindran 75’

FELCRA FC 0

 

MEGAH MURNI FC 0

DYS FC 1

Fneckly Baris 45’

 

SHAHZAN MUDA FC 1

Mohd Hariz Fazrin Mohd Nazri 89’

PENJARA FC 1

Muhd Adli Muhammad 45’+1

 

PB IPOH 0

AIRASIA ALLSTARS FC 3

Mohd Badrul Hisani Abdul Rahman 58’

Khyril Muhymeen Zambri 73’ 75’