PIALA FAM: MISC-MIFA, PKNP FC BAKAL BERENTAP DI FINAL

2016-10-10

MISC-MIFA dan PKNP FC mengesahkan tempat di final setelah mengatasi lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua saingan Piala FAM 2016, semalam. Kejayaan tersebut sekaligus menyaksikan kedua-dua pasukan layak ke saingan Liga Premier musim hadapan.

Di Stadium Shah Alam, MISC-MIFA melakar kejutan apabila menewaskan pasukan tuan rumah, AirAsia Allstars FC 1-0 menerusi jaringan M Sathish pada minit ke-68. Gol tunggal itu sudah memadai buat skuad kendalian Jacob Joseph untuk mara ke final melalui agregat 2-1 selepas seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium USIM, Nilai, 25 September lalu.

Pada satu lagi aksi separuh akhir kedua di Stadium Arena Universiti Malaya, penyerang, G Mugenthirran muncul wira PKNP FC apabila meledak dua gol bagi membantu pasukannya menumpaskan Felcra FC 3-2.

Setelah ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan penyerang veteran Felcra FC, Fadzli Saari, skuad kendalian Abu Bakar Fadzim bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Hamizul Izaidi Zulkifli (m-47) dan Mugenthirran (m-57).

Selang tiga minit kemudian, pasukan tuan rumah bimbingan Yusri Che Lah berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Syafiq Azmi sebelum Mugenthirran menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Keputusan itu menyaksikan PKNP FC mara ke final menerusi agregat 3-2 selepas terikat tanpa jaringan pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, 25 September lalu.

Final Piala FAM 2016 secara timbal balik akan berlangsung pada 20 dan 27 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM (9 OKTOBER 2016)

 

AIRASIA ALLSTARS FC 0

MISC-MIFA 1

M Sathish 68’

*  MISC-MIFA layak ke final menerusi agregat 2-1

 

FELCRA FC 2

Fadzli Saari 24'

Syafiq Azmi 60’

PKNP FC 3

Hamizul Izaidi Zulkifli 47’

G Mugenthirran 57’ 85’

*  PKNP FC layak ke final menerusi agregat 3-2