PIALA FAM: SAMB FC IRINGI PKNP FC KE SUKU AKHIR

2016-08-08

MISC-MIFA dan Felcra FC berkongsi kedudukan di tangga teratas Kumpulan A setelah menumpaskan lawan masing-masing manakala Kelab Bolasepak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB FC) muncul pasukan kedua mengesahkan slot ke suku akhir setelah menewaskan peneraju Kumpulan B, Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), semalam.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, skuad MISC-MIFA kendalian Jacob Joseph bangkit daripada keputusan seri 1-1 dengan Shahzan Muda FC 1 Ogos lalu untuk melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Sungai Ara FC.

Sementara itu, pasukan tangga kedua, Felcra FC mengekalkan tekanan ke atas MISC-MIFA apabila turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Penjara FC di Stadium Mini Tampin, Negeri Sembilan untuk menyaksikan kedua-dua pasukan teratas itu berkongsi 30 mata dengan skuad bimbingan Yusri Che Lah masih kurang satu perlawanan.

AirAsia Allstars FC turut melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 23 mata setelah mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas DYS FC di Stadium UMS, Kota Kinabalu, Sabah tatkala pasukan tangga keempat, Shahzan Muda FC membelasah Persatuan Bolasepak Ipoh 4-1 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang.

Rekod tanpa kalah peneraju Kumpulan B, PKNP FC yang telahpun layak ke pusingan suku akhir dengan mengumpul 24 mata minggu lepas, lebur setelah tumpas 1-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka kepada SAMB FC  sekaligus membolehkan skuad kendalian Ramli Junit itu berjaya menempah tiket ke suku akhir biarpun perlawanan peringkat kumpulan masih berbaki 3 perlawanan.

Di tangga ketiga, Kelab Bolasepak Kementerian Kewangan (MOF FC) turun satu anak tangga setelah tewas mengejut 1-0 kepada pasukan tangga kelima, Hanelang FC di Stadium Mini UKM, Bangi.

Kelab Bolasepak Kadazan Murut Malaysia (KDMM FC) pula mencatat kemenangan kedua berturut dalam tempoh seminggu setelah menewaskan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia 1-0 di Padang Astaka Kuala Berang, Terengganu.

Terdahulu pada aksi yang berlangsung 3 Ogos lalu, skuad kendalian Andrew Majanggim turut menang 1-0 ke atas Hanelang FC di venue yang sama untuk kini menduduki tangga keempat dengan 16 mata.

Pada satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, tuan rumah yang juga pasukan tercorot, MPKB-BRI UBES FC berjaya mengutip kemenangan berharga dengan menumpaskan UKM FC 2-1.

 

KEPUTUSAN PENUH

 

KUMPULAN A

 

SG ARA FC 1

Khairul Azri Jama Abd Haziq 30’

MISC-MIFA 3

Muhammad Fauzi Abd Kadar 16’ 54’

M Yoges 42’

 

SHAHZAN MUDA FC 4

Mohd Aizuddin Che Aziz 17’ 88’

Muhamad Baqiuddin Shamsudin 33’

Osman Damanhuri 67’

PB IPOH FC 1

Mohd Saiful Basir 38’

 

PENJARA FC 1

Ahmad Azrul Azrie Ahmad Rushidi 66’ (gs)

FELCRA FC 3

Ahmad Azrul Azrie Ahmad Rushidi 24’

Mohamad Syafiq Azmi 64’ 85’

  

DYS FC 0

AIRASIA ALLSTARS FC 2

Muhammad Zamri Hassan 20’

Khairul Naim Mahyuddin 33’

 

KUMPULAN B

 

SAMB FC 1

P Haresh 60’

PKNP FC 0

 

PB MELAYU MALAYSIA 0

KDMM FC 1

Melky Balang 82’

 

HANELANG FC 1

Muhammad Izzudin Rashid 10’

MOF FC 0

 

MPKB-BRI UBES FC 2

Mohamad Khairul Rizam Che Soh 8’

Muhamad Farhan Yaakub 51’

UKM FC 1

Muhammad Azri Zulkiflee 90’+4