PIALA PRESIDEN 2017: KELANTAN & KEDAH MENANG, 4 PASUKAN TERIKAT AKSI SUKU AKHIR PERTAMA

2017-09-21

Juara bertahan, Kelantan beroleh bekalan tipis untuk dibawa ke tempat lawan selepas berjaya menewaskan juara Kumpulan B, Negeri Sembilan 1-0 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden 2017, petang tadi.

 Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu, gol tunggal Kelantan kendalian Hashim Mustapha yang sekadar menduduki tangga keempat Kumpulan A musim ini dijaringkan Danial Ashraf Abdullah pada minit kelapan untuk menundukkan Negeri Sembilan yang dibimbing Sazali Saidun.

 Juara Kumpulan A, Kedah pula membawa pulang bekalan selesa selepas skuad kendalian Victor Andrag itu berjaya menewaskan pasukan tangga keempat Kumpulan B, Kuala Lumpur bimbingan Khalid Shahdan 2-0 di Stadium Mini UKM, Bangi menerusi dua gol pada babak pertama.

 Dua lagi perlawanan berakhir dengan keputusan seri menyaksikan naib juara musim lalu, T-Team kendalian Tengku Hazman Raja Hassan sebagai tuan rumah diikat seri 1-1 oleh naib juara Kumpulan A, Terengganu bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

 Manakala naib juara Kumpulan B, Selangor kendalian Omar Ali yang juga semifinalis musim lalu berjaya mengikat pasukan tangga ketiga Kumpulan A, Johor Darul Ta'zim III bimbingan Ervin Boban dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

 Perlawanan suku akhir kedua bakal berlangsung pada Selasa ini, 26 September 2017.

 

 

KEPUTUSAN SUKU AKHIR 1

KHAMIS, 21 SEPTEMBER 2017

 

KUALA LUMPUR 0

KEDAH 2

Zulfahamzie Tarmizi 4' Aminuddin Abu Bakar 24'

 

JDT III 0

SELANGOR 0

 

KELANTAN 1

Danial Ashraf Abdullah 8'

NEGERI SEMBILAN 0

 

T-TEAM 1

Akram Asidi 30'

TERENGGANU 1

Ridzuan Razali 82'

 

 

JADUAL SUKU AKHIR 2

SELASA, 26 SEPTEMBER 2017

 

KEDAH lwn KUALA LUMPUR

Stadium Darul Aman, Alor Setar, 8.45 mlm

 

SELANGOR lwn JDT III

Stadium Mini MP Sepang, Salak Tinggi, 4.15 ptg

 

NEGERI SEMBILAN lwn KELANTAN

Stadium Mini USIM, Nilai, 4.15 ptg

 

TERENGGANU lwn T-TEAM

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 4.15 ptg