PIALA PRESIDEN: JDT III, TERENGGANU, PAHANG & SELANGOR KE SUKU AKHIR

2016-08-12

Empat lagi pasukan - Johor Darul Ta'zim (JDT) III, Terengganu, Pahang dan Selangor berjaya mengesahkan tempat ke suku akhir selepas masing-masing meraih tiga mata penuh pada hari perlawanan ke-17 saingan Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Bagi saingan Kumpulan A, pasukan tangga kedua, JDT III kendalian Ervin Boban mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara bertahan yang juga pendahulu, Kelantan bimbingan Hashim Mustapha di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

 Pasukan tangga ketiga, Terengganu kendalian Roshadi Wahab pula berjaya menewaskan pasukan tangga kelima, Felda United bimbingan Sazali Saidun 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

 Kedah hampir pasti menjadi pasukan terakhir melengkapkan slot ke suku akhir selepas mudah membelasah pasukan tercorot, ATM 7-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi memastikan skuad bimbingan Ian Gillan itu melebarkan jumlah perbezaan gol.

 Berbaki satu lagi perlawanan, Kelantan yang sudah pun layak lebih awal pada Isnin lalu kekal di tangga teratas dengan 35 mata, sama mata dengan pasukan tangga kedua, JDT III diikuti Terengganu 34 mata, Kedah 30 mata dan Felda United 27 mata.

 Aksi terakhir, Felda United bertemu Kedah pada Khamis depan (18 Ogos) bakal menentukan pasukan terakhir mengisi slot ke suku akhir di tangga keempat dengan Kedah tampak lebih berpeluang cerah kerana Felda United hanya mampu memintas kedudukan Kedah itu jika mereka berjaya menang dengan perbezaan tujuh gol.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, Pahang kendalian Fuz Zemi Ibrahim berjaya menewaskan T-Team 1-0 di Padang A, Muadzam Shah manakala Selangor bimbingan Omar Ali turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pendahulu, Perak di Padang SUK, Shah Alam.

 Perak di bawah kendalian Sayuddin Mohd Isa bagaimanapun sudah pun mengesahkan tempat ke suku akhir, Isnin lalu manakala T-Team bimbingan Mohd Nafuzi Zain terlebih dahulu muncul pasukan pertama layak pada 4 Ogos lalu.

 Berbaki satu perlawanan, Perak di tangga teratas dengan 32 mata diikuti T-Team dengan 31 mata, Pahang 29 mata dan Selangor 28 mata.

 Namun Pahang dan Selangor masih kurang satu perlawanan apabila kedua-dua pasukan itu bakal bertembung pada satu perlawanan yang dipinda sebelum ini iaitu di Padang A, Muadzam Shah pada Isnin ini (15 Ogos).

 Empat slot ke suku akhir itu sudah diisi penuh selepas PKNS FC yang memintas PDRM di tangga kelima menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan berkenaan pada aksi di Padang Pulapol, Kuala Lumpur kini mengumpul 24 mata dan sudah tidak mampu lagi memintas jumlah mata pasukan di tangga keempat, Selangor.

 Perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan berlangsung pada Khamis, 18 Ogos 2016 sebelum saingan memasuki peringkat kalah mati aksi timbal balik suku akhir membabitkan lapan pasukan terbaik.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

JDT III 1

Shahwan Shaharudin 10'

KELANTAN 0

 

TERENGGANU 3

Muhammad Aliff Fitri Jefri 6' 23'

Mohamad Arif Faisal Mohamad Jefri 41'

FELDA UNITED 1

Muhamad Nurhalis Syafiq Mohamad Nizu 60'

 

UITM FC 0

SARAWAK 2

Nor Azizi Ramlee 31'

Alex Kamba 90+1'

 

NEGERI SEMBILAN 0

PERLIS 0

 

KEDAH 7

Aminuddin Abu Bakar 9' 30' 51'

Muhammad Fa'es Hafize Mohd Fadzil 27' 43' 55'

Mohamad Raphi Azizan Mariappen 90'

ATM 0

 

KUMPULAN B

 

SABAH 2

Devid Ansarui (P) 16'

Fazriel Hanafi Stepanus 89'

PULAU PINANG 0

 

SELANGOR 1

Muhammad Amirul Ashraf Ariffin 55'

PERAK 0

 

PDRM 1

Mohamad Syafiq Redzuan Mohd Pauzee 64'

PKNS FC 2

R Thivagar 59' 90+1'

 

KUALA LUMPUR 1

Muhammad Salihan Jamil 49'

MELAKA 0

 

PAHANG 1

Muhammad Hariz Irffan Mohd Nazri 81'

T-TEAM 0