PIALA PRESIDEN: KELANTAN DIIKAT T-TEAM PADA FINAL 1 DI KOTA BHARU

2016-10-19

Juara bertahan, Kelantan diikat T-Team 1-1 pada Perlawanan Akhir Pertama Piala Presiden 2016 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

 Terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Kelantan kendalian Hashim Mustapha berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-55 menerusi sepakan percuma Danial Ashraf Abdullah.

 Namun T-Team kendalian Nafuzi Zain, jurulatih yang membawa Kelantan bergelar juara Piala Presiden musim lalu, berjaya menyamakan kedudukan hasil tandukan Engku Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-64.

 Kedua-dua pasukan selepas itu beroleh beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk peluang masih terbuka buat Kelantan dan T-Team menjelang Perlawanan Akhir Kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Selasa, 25 Oktober ini.

 

KELANTAN: 22-Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (C), 13-Aiman Shakir Hashim, 24-Syafiq Shapie, 20-Nasharizam Ab Rashid, 23-Azwan Aripin, 27-Fikram Mohamad, 28-Wan Ahmad Fuad Wan Jusoh (18-Muslim Kamaruddin 68'), 26-Fadhilah Pauzi, 17-Danial Ashraf Abdullah, 6-Raihan Huzaizi (11-Wan Azam Mazlan 78'), 10-Nik Azli Nik Alias (8-Shafiq Ab Rahman 46').

T-TEAM: 21-Asyraf Azmi, 8-Amirul Hafizul Samsol, 14-Muhammad Mohd Faudzi, 23-Aqil Irfanuddin Sabri (C), 13-Aizat Hanapi, 2-Naqib Najwan Saufi, 26-Azrul Amri Ishak, 15-Zuasyraf Zulkiefle, 20-Zarulizwan Mazlan (5-Wan Ahmad Amirejab Wan Nadris 85'), 18-Azalinullah Alias (11-Raimi Shair Muhamad 90+1'), 22-Engku Nur Shakir Engku Yacob.

Pengadil: Ismail Asib Md Amin

 

KOMEN KETUA JURULATIH KELANTAN, HASHIM MUSTAPHA

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati kerana kita tak kalah. Masih ada peluang untuk kita mempertahankan kejuaraan. Kita masih ada lagi 90 minit, cuma pemain memilih jalan yang sedikit sukar.

 "Jika dua peluang dimiliki Nik Azli Nik Alias pada babak pertama dapat disudahkan, mungkin kita akan ke Kuala Terengganu dengan bekalan selesa.

 "Bukan kerana pemain gugup. Kita berdepan T-Team yang berjaya mara ke final dan sudah tentu mereka bukan calang-calang pasukan. Mungkin juga faktor padang kerana hujan sebelum perlawanan. Permainan kita sedikit terjejas dengan keadaan padang yang berat.

 "Jadi menjelang final kedua di Kuala Terengganu nanti, T-Team pernah tewas di sana kepada JDT III pada suku akhir pertama. Harap kita dapat ulangi apa yang JDT III telah lakukan di Kuala Terengganu itu.

 "Tapi sudah pasti dua pemain akan terlepas untuk beraksi pada final kedua. Saya sedikit terkilan kerana tiada seorang pun pemain T-Team dilayangkan kad kuning pada beberapa insiden yang pada mata kasar saya patut diberikan kad. Apa pun pengadil lebih arif."

 

KOMEN KETUA JURULATIH T-TEAM, NAFUZI ZAIN

"Secara keseluruhan, tahniah buat para pemain saya dan tahniah juga kepada Kelantan yang telah memberikan tentangan sengit pada perlawanan malam ini.

 "Bermain di padang yang lecak dan hujan bukan sesuatu yang senang untuk para pemain dalam tempoh 90 minit. Tapi apa yang kita rancang, pemain telah memberikan yang terbaik dan alhamdulillah kita berjaya mendapatkan keputusan yang positif.

 "Jika diikut pengalaman, sudah tentu Kelantan berkelebihan kerana pernah beraksi di final. Tapi majoriti pemain saya semuanya pemain baharu terdiri daripada mereka yang berusia 17, 18 dan 19 tahun. Itu yang menjadi motivasi dan psikologi bagi menaikkan keyakinan mereka beraksi.

 "Selepas ketinggalan, kita tetap kekal bermain mengikut perancangan. Saya tak ubah apa-apa. Kami tidak panik dan masih berusaha serta sabar mencari gol dan alhamdulillah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan.

 "Tapi tiada kelebihan bagi saya dengan keputusan 1-1 ini. Kita boleh jaring gol di sini dan Kelantan pun pasti boleh menjaringkan gol di Kuala Terengganu nanti. Jika Kelantan berjaya melakukannya, sudah tentu tekanan bagi pihak kita.

 "Apa pun saya yakin dengan kemampuan pemain saya. Jika mereka kekal beraksi dengan cara dan perancangan kita, insyaAllah kita akan muncul juara Piala Presiden tahun ini."