PIALA PRESIDEN: KELANTAN JARAK MATA, T-TEAM DIKEJAR PDRM

2016-04-19

Juara bertahan, Kelantan berjaya menjarakkan mata di tangga teratas Kumpulan A selepas pencabar terdekat, Terengganu tercicir mata manakala T-Team kekal di persada Kumpulan B sambil diekori PDRM yang memintas Perak selepas aksi ketujuh Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Bagi saingan Kumpulan A, Kelantan kendalian jurulatih Hashim Mustapha berjaya meraih kemenangan kelima selepas menewaskan Perlis 3-1 di Stadium UniMAP, Pauh Putra untuk kini mengumpul 17 mata.

 Terengganu bimbingan Roshadi Wahab kekal di tangga kedua dengan 13 mata selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan tangga tercorot, ATM di Stadium Mindef, Kuala Lumpur.

 Felda United kendalian Sazali Saidun pula berjaya merampas tangga ketiga daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) III selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching untuk mengumpul 13 mata, sama mata dengan Kedah di tangga keempat selepas menewaskan JDT III 1-0 di Stadium Mini UUM, Sintok.

 Negeri Sembilan yang dibimbing Ahmad Fairuz Mohd Yunus berjaya naik dua anak tangga ke kedudukan keenam selepas meraih kemenangan selesa 4-1 ke atas pasukan kedua tercorot, UiTM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk berkongsi 11 mata dengan JDT III kendalian Ervin Boban di tangga kelima.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team yang dibimbing jurulatih Mohd Nafuzi Zain turut berjaya meraih kemenangan kelima selepas mudah menewaskan pasukan tercorot, Selangor 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk kini mengumpul 16 mata.

 PDRM kendalian Ishak Kunju Mohamad berjaya merampas tangga kedua daripada Perak selepas menewaskan pasukan kedua tercorot, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium UKM, Bangi untuk berkongsi 14 mata dengan Perak yang turun ke tangga ketiga selepas sekadar seri 0-0 dengan PKNS FC di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Melaka dan Pulau Pinang kekal berkongsi sembilan mata di tangga keempat dan kelima selepas kedua-dua pasukan itu seri 0-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka manakala Pahang naik dua anak tangga ke kedudukan keenam selepas meraih kemenangan kedua menewaskan Sabah 3-0 di Padang Majlis Daerah Rompin, Muadzam Shah.

 Perlawanan kelapan akan berlangsung pada Khamis ini, 21 April 2016.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

PERLIS 1

Mohd Zulkifli Zakaria 53'

KELANTAN 3

Mohamad Fikram Mohamad 8'

Muhamad Shahrul Hakim Rahim (p) 65'

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 90+3'

 

ATM 1

W Zulfadli W Mohamad 73'

TERENGGANU 1

Muhd Fazirhikwan Mat Rani 90+5'

 

KEDAH 1

Mohd Irwan Syazmin Wahab 43'

JOHOR DARUL TA'ZIM III 0

 

NEGERI SEMBILAN 4

L Kalaiharasan 18'

Sean Eugene Selvaraj 24'

Muhammad Nurzaidi Bunari 57'

Muhammad Hamzah Ahmad 69'

UITM FC 1

Muhammad Syazwan Asyraf Azmi 68'

 

SARAWAK 0

FELDA UNITED 1

Ahmad Azriddin Rosli 6'

 

KUMPULAN B

 

MELAKA 0

PULAU PINANG 0

 

T-TEAM 2

Mohd Zarulizwan Mazlan 35'

Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri 40'

SELANGOR 0

 

PAHANG 3

Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nazri 31' 58'

Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim 21'

SABAH 0

 

KUALA LUMPUR 1

Muhd Aidil Adha Masri 48'

PDRM 2

Mohamad Syafiq Redzuan Mohd Pauzee 81'

Muhammad Asyraf Abdul Wahaid 85'

 

PKNS FC 0

PERAK 0