PIALA PRESIDEN: KELANTAN, NS KONGSI TERAJU; T-TEAM KEKAL MENANG 100%

2016-03-15

Juara bertahan, Kelantan melonjak ke tangga teratas Kumpulan A untuk berkongsi kedudukan dengan Negeri Sembilan tatkala T-Team kekal mengungguli Kumpulan B selepas meraih kemenangan ketiga berturut pada aksi ketiga Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Kelantan bimbingan jurulatih Hashim Mustapha yang diikat 0-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) III di laman sendiri pada Khamis lalu kembali bangkit meraih kemenangan kedua menewaskan UiTM FC kendalian Khairun Haled Masrom 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.

 Pendahulu sebelum ini, Negeri Sembilan bimbingan Ahmad Fairuz Mohd Yunus pula terpaksa merelakan kedudukan teratas dikongsi bersama Kelantan selepas sekadar seri 0-0 dengan Sarawak kendalian Fuad Grbesic di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 Kedah kendalian Ian Gillan dan Felda United bimbingan Sazali Saidun mengekori di tangga ketiga dan keempat selepas masing-masing berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis dan ATM.

 Keempat-empat pasukan teratas Kumpulan A itu berkongsi tujuh mata tetapi dipisahkan perbezaan jaringan.

 Terengganu bimbingan Roshadi Wahab pula berjaya mencatat kemenangan sulung selepas menewaskan JDT III kendalian Ervin Boban 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

 Sementara itu, bagi Kumpulan B, T-Team kendalian jurulatih Nafuzi Zain terus cemerlang merekodkan kemenangan bersih selepas berjaya menewaskan Perak 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk kini mengumpul sembilan mata.

 PDRM kendalian Mohd Ishak Kunju Mohamad merampas tangga kedua dengan tujuh mata selepas berjaya mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan penghuni kedudukan itu sebelum ini, Pulau Pinang 1-0 di Padang Utama Pulapol, Kuala Lumpur.

 Sabah di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Justin Ganai pula naik ke tangga ketiga dengan enam mata selepas menewaskan Selangor kendalian Omar Ali 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

 Saingan Piala Presiden 2016 akan berehat selama dua minggu lebih dan akan disambung semula untuk perlawanan keempat pada Khamis, 31 Mac ini.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

UITM FC 0

KELANTAN 3

Shahrul Hakim Rahim 14’

Wan Ahmad Fuad Wan Jusoh 27’

Faris Shah Rosli 90+2 (p)

 

JDT III 0

TERENGGANU 2

Ridzuan Razali 71’

Dhiyaulrahman Hasry 90+3

 

N SEMBILAN 0

SARAWAK 0

 

KEDAH 1

Raphi Azizan Mariappen 56’

PERLIS 0

 

ATM 0

FELDA UNITED 1

Nurhalis Syafiq Nizu 38’

 

KUMPULAN B

 

PDRM 1

Adif Salim 6’

P PINANG 0

 

SABAH 2

Fuad Amin Madlan 54’

Klismon Aribulan 82’

SELANGOR 1

Faizzudin Abidin 84’

 

K LUMPUR 0

PKNS FC 1

Ghazali Mohamed 90+3’

 

PAHANG 0

MELAKA 1

P Yugan 19’

 

T-TEAM 2

Wan Ahmad Amirejab Wan Nadris 35’

Akram Asidi 73’

PERAK 0