PIALA PRESIDEN: KELANTAN, T-TEAM SELANGKAH KE FINAL

2016-10-04

Juara bertahan yang juga juara Kumpulan A, Kelantan berpeluang cerah melangkah ke pentas final buat dua musim berturut selepas berjaya menewaskan Selangor 3-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Presiden 2016 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

 Skuad kendalian Hashim Mustapha itu beroleh bekalan selesa untuk dibawa ke perlawanan kedua di Padang SUK, Shah Alam pada 12 Oktober ini menerusi jaringan hatrik Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-35, 53 dan 90+2.

 Namun Kelantan tetap perlu waspada kerana Selangor bimbingan Omar Ali yang muncul naib juara Kumpulan B turut tewas 3-0 kepada Terengganu pada aksi suku akhir pertama di tempat lawan sebelum bangkit menang 4-0 di laman sendiri untuk mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-3.

 Sementara itu, pasukan kelab dari Terengganu, T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain turut sebelah kaki ke pentas final selepas beroleh bekalan selesa dari tempat lawan apabila berjaya menewaskan juara Kumpulan B, Perak 3-1 di Stadium Perak,Ipoh, petang semalam.

 Keputusan itu pastinya memberi tugas sukar buat Perak yang dibimbing Sayuddin Mohd Isa untuk bangkit mengatasi pasukan tempat ketiga Kumpulan B itu pada aksi kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 12 Oktober ini.

 

KEPUTUSAN SEPARUH AKHIR PERTAMA

 

KELANTAN 3

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 35' 53' 90+2'

SELANGOR 0

 

PERAK 1

Muhammad Faizzzwan Dorahim 21'

T-TEAM 3

Muhammad Aqil Irfanuddin Mohd Sabri 15'

Mohd Zarulizwan Mazlan 18'

Muhammad Naqib Najwan Saufi 45+5'

 

* Separuh akhir kedua pada 12 Oktober