PIALA PRESIDEN: KELANTAN, TERENGGANU HAMPIRI SEPARUH AKHIR

2016-09-06

Juara bertahan, Kelantan dan Terengganu berkedudukan sebelah kaki ke separuh akhir selepas beroleh kemenangan selesa ke atas lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir pertama Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Sementara Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) III mencatat kemenangan tipis untuk dijadikan bekalan menjelang perlawanan suku akhir kedua yang dijadual berlangsung pada 26 September ini.

 Di Padang A, Muadzam Shah, Kelantan kendalian Hashim Mustapha yang muncul juara Kumpulan A tidak menghadapi masalah besar untuk menewaskan pasukan tangga keempat Kumpulan B, Pahang dengan jaringan 3-0 biarpun turun selaku pasukan pelawat.

 Terengganu bimbingan Roshadi Wahab turut cemerlang menerusi kemenangan 3-0 ke atas Selangor kendalian Omar Ali di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

 Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, tuan rumah Kedah kendalian Ian Gillan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas juara 2014, Perak yang juga juara Kumpulan B.

 JDT III bimbingan Ervin Boban pula beroleh bekalan tipis untuk dibawa ke aksi kedua di laman sendiri selepas berjaya menewaskan T-Team kendalian Mohd Nafuzi  Zain dengan jaringan 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 Keputusan suku akhir pertama itu menyaksikan kesemua empat wakil dari Kumpulan A berjaya menewaskan pasukan-pasukan dari Kumpulan B.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

PAHANG 0

KELANTAN 3

Mohamad Fikram Mohamad 18'

Muhammad Danial Ashraf Abdullah 47'

Wan Ahmad Fuad Wan Jusoh 50'

 

TERENGGANU 3

Muhammad Shafiq Shahrizan Mazlan 5'

Muhammad Aliff Fitri Jefri 26'

Muhamad Azrean Abd Aziz 73'

SELANGOR 0

 

KEDAH 1

Muhammad Fa'es Hafize Mohd Fadzil 45+2'

PERAK 0

 

T-TEAM 0

JDT III 1

Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak 21'

 

* Suku akhir kedua pada 26 September 2016