PIALA PRESIDEN: KELANTAN, TERENGGANU TUMBANG; PERAK HAMBAT T-TEAM

2016-05-20

Dua pasukan teratas Kumpulan A, Kelantan dan Terengganu tewas kepada lawan masing-masing tatkala pendahulu Kumpulan B, T-Team turut tercicir mata untuk kini hanya berkelebihan perbezaan gol dengan Perak selepas perlawanan ke-14 saingan Piala Presiden 2016, petang semalam.

 Bagi saingan Kumpulan A, juara bertahan Kelantan yang dibimbing Hashim Mustapha mengalami kekalahan kedua musim ini selepas tewas 3-1 kepada Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk kekal dengan 32 mata.

 Namun Kelantan lega apabila Terengganu gagal memintas kedudukan mereka di tangga teratas selepas skuad kendalian Roshadi Wahab itu turut mengalami kekalahan selepas tewas tipis 1-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk kekal di tangga kedua dengan 29 mata.

 Pasukan tangga ketiga, Johor Darul Ta'zim (JDT) III bimbingan Ervin Boban turut terlepas peluang untuk merampas tangga kedua daripada Terengganu apabila sekadar seri 0-0 dengan UiTM FC di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang untuk kekal di tangga ketiga dengan 28 mata.

 Felda United di tangga keempat merapatkan jurang mata selepas berjaya menewaskan Perlis 1-0 di Stadium Mini USIM, Nilai untuk kini meraih 24 mata diikuti rapat Kedah di tangga kelima dengan 23 mata dan Negeri Sembilan di tangga keenam dengan 19 mata.

 Sarawak pula naik satu kedudukan ke tangga ketujuh selepas membelasah pasukan tercorot, ATM 7-0 di Stadium Negeri, Kuching.

 Sementara itu, bagi saingan Kumpulan B, T-Team kendalian Mohd Nafuzi Zain gagal melebarkan jurang mata di tangga teratas selepas sekadar seri 0-0 dengan PKNS FC di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya untuk mengumpul 28 mata.

 Perak yang sebelum ini pernah seketika di tangga teratas kembali menekan T-Team apabila pasukan bimbingan Sayuddin Mohd Isa itu berjaya meraih tiga mata penuh menewaskan Melaka 3-1 di Stadium Perak, Ipoh untuk turut mengumpul 28 mata tetapi dipisahkan kelebihan perbezaan gol dimiliki T-Team.

 Pasukan tercorot, Sabah pula berjaya mengejutkan pasukan tangga ketiga, PDRM dengan kemenangan 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu untuk naik satu kedudukan ke tangga kesembilan sambil menolak Melaka ke tangga tercorot dengan perbezaan dua mata.

 Dua lagi perlawanan telah dipinda ke tarikh baharu iaitu Selangor bertemu Kuala Lumpur (21 Mei) dan Pulau Pinang bertemu Pahang (23 Mei).

 Saingan Piala Presiden akan berehat panjang untuk memberi laluan kepada bulan Ramadan dan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak dengan perlawanan seterusnya iaitu perlawanan ke-15 akan berlangsung pada Khamis, 4 Ogos.

 Namun baki dua lagi perlawanan Kumpulan B yang tertunda sebelum ini bakal berlangsung dengan menyaksikan Selangor bertemu PKNS FC di Stadium MP Selayang pada 24 Mei ini dan Sabah bertemu Pahang di Stadium Likas pada 2 Jun ini.

 

KEPUTUSAN PENUH SEMALAM

 

KUMPULAN A

 

KELANTAN 1

Muhamad Raihan Huzaizi 28'

KEDAH 3

Aminuddin Abu Bakar (p) 40'

Mazlan Mohamad 60'

Mohd Loqman Hakim Marzuki 90+4'

 

TERENGGANU 0

NEGERI SEMBILAN 1

Sean Eugene Selvaraj 68'

 

JOHOR DARUL TA'ZIM III 0

UITM FC 0

 

SARAWAK 7

Abdul Rahim Abdul Razak 14' 63' 79' 80'

Nor Azizi Ramlee 31' 34'

Jimmy Raymond 48'

ATM 0

 

FELDA UNITED 1

Alif Afham Mustakim Abdul Hisham 8'

PERLIS 0

 

KUMPULAN B

 

SABAH 1

Rahman Shah Marajeh 48'

PDRM 0

 

PKNS FC 0

T-TEAM 0

 

PERAK 3

Muhammad Rizal Che Aziz 31'

Abdul Razak Mastor 45'

E Paranitharan 86'

MELAKA 1

Shahrul Fadhli Zamri 90+1'

 

SELANGOR lwn KUALA LUMPUR

(Dipinda ke 21 Mei)

 

PULAU PINANG lwn PAHANG

(Dipinda ke 23 Mei)