PIALA SUZUKI AFF 2016: MYANMAR 1-0 MALAYSIA

2016-11-27

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2016 selepas tewas 1-0 kepada tuan rumah, Myanmar pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna, Yangon, malam tadi.

 Sepanjang 11 edisi kejohanan, ini kali ketiga Malaysia kandas di peringkat kumpulan selepas edisi 1998 dan 2008. Malaysia hanya sekali muncul juara pada edisi 2010 dan dua kali bergelar naib juara pada 1996 dan 2014.

 Selepas berjaya menewaskan Kemboja 3-2 pada aksi sulung pada 20 November lalu tetapi tewas 1-0 kepada Vietnam selang tiga hari kemudian, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini memerlukan kemenangan ke atas Myanmar untuk mara ke separuh akhir tatkala Myanmar pula hanya mahukan keputusan seri.

 Pada aksi malam tadi, ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti Aung Thu pada minit ke-13 gagal membantu kemenangan yang dicari skuad Harimau Malaysia yang akhirnya dikecewakan jaringan kemenangan Myanmar menerusi David Htan pada minit ke-89.

 Selesai tiga perlawanan, Vietnam muncul juara Kumpulan B dengan sembilan mata penuh selepas menewaskan Kemboja 2-1 malam tadi diikuti Myanmar 6 mata, Malaysia 3 mata dan Kemboja tanpa sebarang mata.

 Bagi perlawanan separuh akhir nanti, juara bertahan yang juga juara Kumpulan A, Thailand bakal berdepan naib juara Kumpulan B, Myanmar manakala juara Kumpulan B, Vietnam akan bertemu naib juara Kumpulan A, Indonesia.

 

MYANMAR: 18-Kyaw Zin Phyo, 12-Kyaw Zin Lwin, 3-Zaw Min Tun, 15-Phyo Ko Ko Thein, 5-Nanda Kyaw, 4-David Htan, 11-Myo Ko Tun (7-Ye Ko Oo 68'), 6-Yan Aung Kyaw (C), 21-Mg Mg Lwin (14-Yan Naing Oo 73'), 8-Kaung Set Naing (22-Than Paing 84'), 9-Aung Thu.

MALAYSIA: 19-Khairul Fahmi Che Mat, 15-Rizal Ghazali, 5-Shahrom Kalam (10-Safee Sali 76'), 24-Ronny Harun, 21-Nazirul Naim Che Hashim, 17-Amri Yahyah (C), 7-Baddrol Bakhtiar, 14-Ahmad Fakri Saarani (3-Shahrul Saad 67'), 16-Syazwan Zainon, 11-Ahmad Hazwan Bakri, 9-Norshahrul Idlan Talaha (18-Darren Lok 74').

Pengadil: Yaqoob Said Abdullah Abdul Baqi (Oman)

 

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Kita tahu yang kita memerlukan gol dan bermula agak baik di mana banyak percubaan kita lakukan. Pada masa sama Myanmar juga mempunyai peluang.

 "Tapi malangnya pada minit terakhir kita dibolosi kerana kita inginkan gol untuk layak.

 "Bagi saya, pemain yang ada ini sudah memberikan segalanya yang mereka ada. Ini sudah maksimum yang boleh kita peroleh daripada mereka. Sudah tentu ada beberapa pemain muda yang perlu dilihat untuk membina pasukan pada masa akan datang.

 "Tapi saya puas hati dengan kesungguhan pemain untuk mendapatkan gol, karakter yang mereka tunjukkan kerana bagi saya bermain dengan Myanmar di hadapan penyokong mereka bukan perkara yang sukar tetapi kita terpaksa bermain dengan banyak lagi halangan lain seperti keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan dan memberi banyak tanda tanya.

 "Bagi diri saya, ini satu kegagalan di mana saya diletakkan KPI untuk menjuarai Piala Suzuki AFF 2016. Apabila gagal layak ke separuh akhir, bermakna saya gagal. Ini yang perlu saya fikirkan kenapa saya gagal dan banyak yang boleh kita lihat selepas pulang nanti.

 "Saya tak tertekan. Ini kebiasaan bagi tugas seperti ini yang sudah sememangnya sentiasa dalam tekanan. Apabila satu KPI tidak tercapai, saya masih mempunyai dua lagi KPI untuk dilaksanakan."