PLAY-OFF 1: MALAYSIA DIUNDI JUMPA TIMOR-LESTE

2016-04-07 

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee diundi bertemu Timor-Leste untuk perlawanan Play-off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 yang akan dilangsungkan secara timbal balik di tempat sendiri pada 2 Jun dan di tempat lawan pada 7 Jun 2016.

 Pada majlis undian yang berlangsung di Ibu Pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, hari ini, Malaysia diletakkan dalam Balang 1 bersama-sama Tajikistan, Taiwan, Maldives dan Laos manakala Balang 2 menampilkan India, Yemen, Timor-Leste, Bangladesh dan Kemboja.

 Jika menang ke atas Timor-Leste, Malaysia akan layak terus ke saingan peringkat kumpulan Kelayakan Piala Asia 2019 yang bakal bermula 28 Mac 2017.

 Namun jika tewas, Malaysia tetap berpeluang untuk layak ke peringkat kumpulan itu tetapi perlu memenangi perlawanan Play-Off 2 bertemu Taiwan atau Kemboja pada 6 September (tempat sendiri) dan 11 Oktober 2016 (tempat lawan).

 Malaysia dan Timor-Leste pernah bertemu dua kali sebelum ini memandangkan kedua-dua pasukan berada dalam Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018 yang menyaksikan keputusan seri 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2015 dan Malaysia menang 1-0 di Dili pada 13 Oktober 2015 menerusi jaringan Amri Yahyah.

 

KOMEN KETUA JURULATIH KEBANGSAAN, DATUK ONG KIM SWEE

"Bagi saya, mana pasukan pun kita tetap perlu beri perhatian. Biarpun kita pernah bertemu Timor-Leste sebelum ini, kita perlu tahu mereka bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan meskipun kita berjaya menang di Dili, Oktober lalu.

"Saya tak boleh katakan yang saya sudah benar-benar bersedia untuk berdepan Timor-Leste kerana permainan sentiasa bertukar. Sudah tentu saya tetap perlu melakukan banyak analisis tentang pasukan Timor-Leste dan pada masa sama kita juga perlu memikirkan persiapan pasukan kita sendiri.

 "Kedua-dua aspek ini memainkan peranan penting dan saya cukup berharap yang kita dapat mempamerkan satu permainan sebaik mungkin pada aksi timbal balik Play-off 1 itu nanti.

 "Setiap pasukan mahu layak lebih awal ke peringkat kumpulan. Beraksi di Play-off 1 ini merupakan peluang kedua buat kita untuk layak dan saya ingin kita layak dengan lebih cepat tanpa perlu beraksi Play-off 2 di mana kita boleh merancang perlawanan-perlawanan kita untuk 2017 lebih awal.

 "Untuk persiapan Play-off 1 bertemu Timor-Leste ini, kita akan berkumpul untuk kem latihan pusat pada 22 Mei dan akan mengadakan satu perlawanan persahabatan sebelum bertemu Timor-Leste pada 2 dan 7 Jun ini."