PLAY-OFF KELAYAKAN PIALA ASIA 2019: MALAYSIA 3-0 TIMOR LESTE

2016-06-03

Skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee mendapat bekalan selesa selepas berjaya menewaskan Timor-Leste 3-0 pada perlawanan pertama Play-Off 1 Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

 Malaysia mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan Ahmad Hazwan Bakri selepas penyerang Selangor itu melakukan 'backheel' menarik untuk menyudahkan hantaran Fazly Mazlan pada minit ke-17 dan sekali lagi tajam menolak masuk hantaran Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, empat minit kemudian.

 Pada penghujung babak kedua, Malaysia berjaya menambah satu lagi gol selepas pemain berusia 35 tahun, Amri Yahyah yang baru seminit dimasukkan tenang menyudahkan hantaran Ahmad Hazwan pada minit ke-86 untuk memberikan bekalan selesa menjelang perlawanan kedua di stadium yang sama, Isnin ini (6 Jun 2016).

MALAYSIA: 23-Izham Tarmizi Roslan, 16-S Kunanlan, 5-Shahrom Kalam (4-Fadhli Shas 61'), 7-Aidil Zafuan Abd Radzak (C), 6-Fazly Mazlan, 20-Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (18-S Chanthuru 59'), 3-Brendan Gan (17-Amri Yahyah 85'), 11-Baddrol Bakhtiar, 19-Christie Jayaseelan, 21-Amirulhadi Zainal, 12-Ahmad Hazwan Bakri.

TIMOR-LESTE: 12-Ramos Maxanches, 22-Nelson Viegas (16-Rufino Walter Gama 81'), 5-Ramon Saro, 13-Diogo Rangel, 4-Filipe Oliveira, 11-Nataniel Reis (10-Frangcyatma Alves 60'), 6-Anggisu Barbosa (C), 7-Paulo Helber, 3-Adelino Trindade, 8-Juninho, 9-Henrique Cruz.

Pengadil: Hiroyuki Kimura (Jepun)

 

KOMEN KETUA JURULATIH MALAYSIA, DATUK ONG KIM SWEE

"Sudah tentu ini satu kemenangan yang baik. Tapi tugas belum selesai kerana masih ada lagi 90 minit. Kami tak boleh hilang fokus. Apa pun sekurang-kurangnya kemenangan ini boleh membuatkan kami kembali dengan lebih yakin selepas ini.

 "Bagi saya, pemain telah melakukan tugas dengan baik pada malam ini dengan menggerakkan bola cukup baik dan beraksi mengikut arahan. Paling penting, semua bekerja sebagai satu pasukan. Siapa yang jaring gol tidak penting tetapi tiga gol berkenaan penting buat kami.

 "Sudah tentu banyak cakap-cakap sebelum ini tentang kami gagal jaring gol pada tiga perlawanan sebelum ini. Tapi hari ini kami dapat jaring tiga gol dan tidak bolos dalam tiga perlawanan. Patutnya kini kita lebih bercerita tentang benteng kami tidak bolos berbanding kami tidak menjaringkan gol.

 "Ya, selepas mendapatkan dua gol terutama pada babak kedua, kami hilang sedikit konsentrasi di bahagian pertahanan dan terperangkap beberapa kali. Nasib baik kami tidak dihukum dengan jaringan. Kami perlu memperbaikinya untuk aksi kedua nanti kerana saya yakin Timor-Leste akan datang menyerang dengan cara yang sama.

 "Saya juga tak tahu siapa individu (wartawan) yang mempersoalkan tentang desas desus wujudnya protes senyap di kalangan pemain terhadap saya. Jika individu berkenaan mahu sabotaj saya, itu saya yakin.

 "Tapi jika kamu tanya saya, ia sesuatu yang tidak masuk akal dan karut. Saya rasa individu berkenaan ada agenda dan saya tidak mengambil perkara ini sebagai isu dalam pasukan saya.

 "Saya cukup mengenali pasukan saya ini. Saya tahu apa yang mereka (pemain) mampu buat. Jika mereka kalah, saya ada di belakang mereka dan jika mereka menang, mereka akan berada di hadapan saya. Itu cara saya."