PREVIU AKSI FINAL PIALA TUN SHARIFAH RODZIAH 2016

2016-04-16

Perlawanan akhir Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2016 di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah bakal menyaksikan aksi ulangan edisi tahun lepas antara dua seteru utama, MISC dan Sabah yang semestinya menjanjikan persaingan sengit.

Memburu gelaran ke-12, Sabah kendalian Smith M Ampuling memegang rekod sebagai pasukan yang mempunyai rekod jaringan terbanyak kejohanan tahun ini dengan 31 gol dan hanya bolos 1 gol daripada enam perlawanan.

Smith menegaskan bahawa sasaran pasukan Sabah pada tahun ini ialah untuk menebus kekalahan menentang MISC dan sekali gus menjulang trofi PTSR.

“Sasaran kami pada tahun ini ialah untuk menjadi juara. Kami mahu membawa pulang trofi PTSR ke negeri Sabah," katanya kepada www.fam.org.my.

Ketua jurulatih berusia 44 tahun itu turut menyifatkan penyerang berusia 16 tahun, Nurul Azurin Mazlan yang juga merupakan penjaring gol terbanyak pasukannya dengan 12 gol setakat ini sebagai tonggak utama.

“MISC adalah sebuah pasukan yang berpengalaman. Saya berharap Azurin dapat menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan akhir ini. Saya juga berharap Sabah bermain dengan baik dan memberikan persembahan 100%,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih MISC, Ananthan M Raman berkata, skuad Sabah cukup berbahaya kerana dibarisi pemain muda serta senior yang berpengalaman berbanding tahun lepas.

“Sememangnya ia perlawanan yang dinantikan. Dari segi kekuatan pasukan, saya lihat Sabah pada tahun ini mempunyai kelebihan dari semua aspek kerana mereka mempunyai gandingan pemain muda dan berpengalaman. Namun, kita tetap akan buat yang terbaik bagi mempertahankan kejuaraan,” ujar Ananthan.

Diminta mengulas mengenai persembahan mantap Haindee Mosroh yang juga pendahulu carta penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan 13 gol, Ananthan mengakui sentuhan penyudah penyerang berusia 26 tahun itu menjadi sandaran pasukannya.

“Haindee sebenarnya seorang pemain tengah yang ditukar posisinya menjadi penyerang. Pada awalnya, dia tidak menunjukkan minat. Tetapi, setelah mendapat momentum, dia berjaya menjumpai sentuhan penyudah. Saya berharap dia akan dapat menyudahkan peluang pada aksi final esok,” katanya.

Ananthan turut memuji peningkatan kualiti permainan bolasepak wanita pada kejohanan PTSR tahun ini yang dilihat jauh berbeza berbanding pada edisi tahun lepas.

“Mutu permainan bolasepak wanita juga saya lihat sudah semakin meningkat. Kita dapat lihat dari jumlah jaringan gol dan juga corak permainan pasukan-pasukan baharu tahun ini,” tambahnya.