PREVIU AKSI SEPARUH AKHIR PIALA TUN SHARIFAH RODZIAH 2016

2016-04-14

SABAH LWN KEDAH

Sabah merupakan satu-satunya pasukan yang mempunyai rekod kemenangan sempurna pada saingan peringkat kumpulan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2016 dengan jaringan sebanyak 27 gol dan hanya bolos 1 gol daripada lima perlawanan.

Penolong jurulatih Sabah, Petronella Douny menyuarakan keyakinannya bahawa pasukan naib juara PTSR edisi tahun lepas itu sudah bersedia untuk menghadapi tentangan skuad Hijau Kuning pada aksi separuh akhir di Universiti Utara Malaysia (UUM), petang ini.

“Kami akan buat yang terbaik untuk aksi separuh akhir ini bagi merealisasikan sasaran kami. Dari segi persediaan fizikal dan mental, kami sudah bersiap sedia untuk perlawanan menentang Kedah,” ujar Petronella kepada  www.fam.org.my

Sementara itu, skuad Kedah kendalian Mohammad Zulkifli Jaafar pula berjaya memintas cabaran pasukan di tempat ketiga, Kuala Lumpur apabila mengikat juara bertahan, MISC 1-1 pada aksi terakhir saingan peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.

Biarpun mengakui kekuatan pasukan Negeri di Bawah Bayu itu, Zulkifli percaya dan yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk menampilkan aksi yang terbaik.

“Kita tahu bahawa Sabah merupakan pasukan yang kuat, dibarisi ramai pemain kebangsaan. Kita juga sebenarnya bukan pasukan pilihan dan tidak mempunyai banyak masa yang banyak untuk mempersiapkan pasukan untuk kejohanan ini.

“Bagaimanapun, kita akan buat yang terbaik untuk negeri Kedah. Saya berharap penyokong-penyokong akan datang dan memberi sokongan yang padu kepada pasukan untuk layak ke pusingan akhir,” tegas pengendali berusia 32 tahun itu.

MISC LWN SARAWAK

Kehilangan beberapa pemain tonggak daripada skuad yang memenangi PTSR pada edisi tahun lepas nyata tidak mengganggu rentak MISC yang tampil garang menjuarai Kumpulan B dengan rekod tanpa kalah dan berjaya meledak 19 gol daripada lima perlawanan.

Penolong jurulatih MISC, Zulfa Arnis Marah Sutan berharap pasukannya akan terus mempamerkan persembahan terbaik apabila menentang Sarawak pada aksi separuh akhir esok dan sekali gus layak ke pusingan akhir.

“Kami akan beri yang terbaik dan saya berharap pemain-pemain dapat mengekalkan rentak permainan sebagaimana yang dipersembahkan dari peringkat awal hingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Saya berharap kami akan mara ke peringkat akhir dan mempertahankan kejuaraan,” katanya kepada www.fam.org.my.

Menanti MISC pada aksi separuh akhir adalah pasukan Sarawak yang melangkah ke pusingan kalah mati setelah membelasah Negeri Sembilan 5-1 pada aksi kelima PTSR 2016 untuk muncul naib juara Kumpulan A dengan 8 mata.

“Kita sedar bahawa MISC adalah pasukan yang kuat. Saya berharap para pemain dapat memberi saingan yang terbaik dan dapat mencapai matlamat pasukan untuk melangkah ke pusingan akhir,” ujar pengurus pasukan Sarawak, Duke Janteng.