PREVIU MENJELANG MAJLIS UNDIAN PIALA SUZUKI AFF 2016

2016-08-01

Majlis undian Piala Suzuki AFF 2016 akan berlangsung di Hotel Novotel Yangon Max di Yangon, Myanmar pada Selasa, 2 Ogos 2016 bermula jam 7.00 malam waktu tempatan (8.30 malam waktu Malaysia).

 Lapan pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan akan beraksi dalam Kumpulan A dan empat pasukan dalam Kumpulan B dengan saingan peringkat kumpulan itu bakal berlangsung dari 19 hingga 26 November 2016 di Myanmar dan Filipina.

 Seterusnya perlawanan separuh akhir timbal balik akan diadakan pada 3 dan 4 Disember serta 7 dan 8 Disember disusuli aksi final timbal balik pada 14 dan 17 Disember 2016.

 Untuk proses undian nanti, Balang 1 akan menampilkan dua pasukan tuan rumah bersama bagi edisi kali ini, Myanmar dan Filipina diikuti Balang 2 yang diisi dua finalis edisi 2014, Thailand (juara bertahan) dan Malaysia (naib juara).

 Balang 3 pula dihuni Singapura dan Vietnam manakala Balang 4 dilengkapi Indonesia dan juara pusingan kelayakan, sama ada Kemboja (tuan rumah kelayakan), Laos, Timor-Leste atau Brunei yang bakal berlangsung di Phnom Penh dari 15 hingga 21 Oktober 2016.

 Pada Piala Suzuki AFF 2014, Malaysia yang ketika itu dibimbing Dollah Salleh muncul naib juara Kumpulan B di belakang Thailand pada saingan yang berlangsung di Singapura. Bagi aksi Kumpulan A di Hanoi, tuan rumah Vietnam mara selaku juara kumpulan diiringi Filipina.

 Di separuh akhir, Malaysia tewas 2-1 kepada Vietnam pada aksi pertama di Shah Alam sebelum bangkit menang 4-2 di Hanoi untuk mara ke final dengan agregat 5-4 manakala Thailand layak dengan agregat 3-0 mengatasi Filipina.

 Pada aksi final, Malaysia tewas 2-0 kepada Thailand pada perlawanan pertama di Bangkok sebelum bangkit menang 3-2 di Bukit Jalil, namun terpaksa akur merelakan Thailand bergelar juara dengan kemenangan agregat 4-3.

 Bagi edisi ke-11 Piala Suzuki AFF 2016, Malaysia bakal dikemudi Datuk Ong Kim Swee yang telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaysia itu pada 18 Januari 2016.

 Mengikut rekod, Malaysia pernah sekali muncul juara iaitu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal, naib juara sebanyak dua kali pada edisi sulung 1996 dan 2014 serta lima kali tewas di separuh akhir iaitu pada 2000, 2002, 2004, 2007 dan 2012.

 Hanya dua kali Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan iaitu pada 1998 dan 2008.