Previu perlawanan persahabatan Malaysia lwn Laos

Skuad kebangsaan, Harimau Malaya akan bertemu Laos untuk perlawanan persahabatan antarabangsa A di Stadium Thupatemi Royal Thai Air Force, Bangkok, Thailand pada Khamis, 8 Oktober 2015.
 
 Tiada bayaran masuk dikenakan kepada penonton yang ingin menyaksikan perlawanan berkenaan dengan sepak mulanya pada jam 4 petang waktu Thailand (5 petang waktu Malaysia)
 
 Perlawanan persahabatan ini sebagai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee untuk menghadapi perlawanan kelima Kumpulan A, Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Timor Leste di Dili, Timor Leste pada 13 Oktober ini.
 
 Berikut komen Kim Swee selepas sesi latihan terakhir pasukan di Pusat Latihan Muangthong United, Bangkok, petang tadi.
 
 "Keadaan pemain bertambah baik terutama pada hari terakhir kami menjalani latihan di sini selepas sesi latihan pertama semalam, kita tiba agak lewat dan nampak pemain masih lagi tak mempunyai masa rehat mencukupi.
 
 "Tapi hari ini nampak bertambah baik dan saya harap esok apabila beraksi bertemu Laos, mereka akan dapat bermain dengan lebih baik.
 
 "Tidak menjadi masalah utama apabila kita tidak dapat berlatih di stadium hari ini kerana seperti dimaklumkan keadaan stadium amat baik.
 
 "Cuma harap esok tidak hujan dan pastinya kita akan dapat satu gambaran tentang kekuatan dan kelemahan kita untuk diperbaiki nanti menjelang perlawanan dengan Timor Leste.
 
 "Saya masih belum ada bayangan kesebelasan utama. Kemungkinan hanya sebelum sepak mula perlawanan esok saya akan umumkan. Tapi saya akan gunakan sepenuhnya enam pertukaran dibenarkan sepanjang perlawanan kerana ia penting untuk saya melihat beberapa kombinasi di posisi tertentu.
 
 "Mengenai pasukan Laos, bagi saya mereka pasukan yang semakin bertambah baik dan kedudukan kita pun tak begitu jauh dengan mereka dari segi ranking.
 
 "Jadi kita tak boleh mengambil mudah dan yang penting di sini, kita harus memikirkan corak permainan kita dan apa yang perlu dilakukan, terus berdispilin serta menunjukkan karakter terutama ketika bertemu Arab Saudi untuk dibawa pada aksi bertemu Laos dan Timor Leste nanti.
 
 "Seperti yang saya katakan, jika kita beroleh kemenangan ke atas Laos esok, pasti ia akan memberi keyakinan lebih kepada pemain untuk berdepan Timor Leste.
 
 "Tapi bukan untuk kita bermegah jika berjaya mencatat kemenangan pertama sepanjang 2015 ini, yang mustahak keyakinan serta komitmen kita harus dapat dikekalkan untuk perlawanan berikutnya."
 
J Category: 
uncategorised7