PTSR 2016 MAMPU CUNGKIL BAKAT BAHARU WANITA - DATO' NORHUDA

2016-04-04

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Brigadier Jeneral Dato' Norhuda Ahmad menyuarakan keyakinan bahawa kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2016 bermula Khamis ini (7 April) mampu menjadi medan mencungkil bakat-bakat baru untuk diketengahkan bagi mewakili negara kelak.

“Syarat penyertaan kejohanan tahun ini juga menyaksikan setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftarkan hanya 5 pemain yang berumur 26 tahun ke atas manakala selebihnya berusia 25 tahun ke bawah.

“Saya lihat PTSR mampu untuk melatih golongan wanita muda bagi menceburkan diri dalam sukan bola sepak dan sekali gus memudahkan proses untuk mencari pelapis skuad wanita kebangsaan kita.

“Harapan saya ialah untuk PTSR 2016 ini menjadi platform untuk kita memilih barisan pemain yang bakal mewakili negara untuk ke Piala Bolasepak Wanita Asia AFC 2022 kelak,” katanya kepada www.fam.org.my.

Sementara itu, Norhuda turut menyatakan harapan beliau untuk melihat corak permainan yang menarik daripada setiap pasukan yang bertanding pada edisi PTSR tahun ini.  

“Apa yang saya mahukan ialah bagi setiap pasukan mampu untuk menunjukkan corak permainan yang terbaik dan memberangsangkan supaya dapat membantu negara kita untuk membentuk pasukan yang menjadi pencabar utama kepada pasukan ASEAN yang lain,” katanya.

Tahun lalu, pasukan baharu, MISC-MIFA mencatat sejarah muncul juara PTSR 2015 apabila menundukkan juara bertahan yang juga pemenang 11 kali kejohanan, Sabah melalui penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedudukan masa penuh terikat 1-1 pada aksi final yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Edisi ke-29 PTSR yang bakal berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dari 7 April hingga 16 April ini menyaksikan penyertaan 12 pasukan yang turut terdiri daripada tiga pasukan baharu; Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis.