Pulau Pinang rampas tangga kedua Liga Premier

Kedah kekal di tangga teratas Liga Premier 2015 tetapi gagal melebarkan jurang mata selepas tewas 2-0 kepada Negeri Sembilan pada perlawanan ke-20 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
 
 Sebaliknya Pulau Pinang kembali mengekori rapat Kedah apabila berjaya merampas tangga kedua daripada T-Team selepas mudah membelasah Sabah 4-0 di Stadium Bandaraya.
 
 T-Team terpaksa turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga selepas sekadar seri 2-2 dengan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada aksi yang berlangsung sebelah petang.
 
 Pasukan tangga keempat, PKNS FC turut gagal meraih mata penuh apabila diikat DRB HICOM FC 1-1 di Stadium Proton, Tanjung Malim pada satu lagi perlawanan sebelah petang.
 
 Berbaki dua lagi perlawanan, hanya empat pasukan masih berpeluang merebut dua slot teratas ke Liga Super 2016 iaitu Kedah yang kini mengumpul 42 mata, Pulau Pinang 39 mata, T-Team 39 mata dan PKNS FC 35 mata.
 
 Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pula mengukuhkan kedudukan di tangga kelima untuk berpeluang cerah mengisi slot playoff ke Piala Malaysia 2015 selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
 
 Sementara itu, satu lagi perlawanan yang berlangsung lewat sehari pada petang Sabtu menyaksikan pasukan tercorot, KL SPA Putrajaya FC sah akan turun ke Liga FAM 2016 selepas sekadar seri 1-1 dengan pasukan kedua tercorot, Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam.
 
 Perlawanan ke-21 akan berlangsung pada Selasa ini (18 Ogos) diikuti perlawanan terakhir liga pada Jumaat (21 Ogos).
 
 
KEPUTUSAN SEMALAM (JUMAAT):
 
NEGERI SEMBILAN 2
Francis Forkey Doe m-73,
N Thanabalan m-83
KEDAH 0
 
PULAU PINANG 4
Elias Sulaiman m-41,
Azinee Taib m-47 & m-72,
Mohd Faiz Subri m-60
SABAH 0
 
UiTM FC 2
Syafiq Mokhtar m-42,
Aiman Syazwan Abdullah m-52
T-TEAM 2
Sadriddin Abdullaev m-35 & m-54
 
DRB HICOM FC 1
Ivan Babic m-74
PKNS FC 1
Mohd Faiz Isa m-17
 
JOHOR DARUL TA'ZIM II 2
Zaquan Adha Abd Radzak m-52,
Akmal Ishak m-70
KUALA LUMPUR 1
Choi Hyun Yeon m-34
 
 
KEPUTUSAN PETANG TADI (SABTU):
 
KL SPA PUTRAJAYA FC 1
Khairol Azry Abdul Rahman m-37
KUANTAN FA 1
Kamal Rodiarjat Md Ali m-74
J Category: 
uncategorised6