RANGKUMAN SIDANG MEDIA SELEPAS MESYUARAT JAWATANKUASA EKSEKUTIF FAM KALI KE-10

2016-11-07

Berikut adalah rangkuman sidang media oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato' Sri Haji Afandi Hamzah selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 di Wisma FAM, Kelana Jaya, pagi tadi:

 

1. Jawatankuasa telah membuat penetapan tarikh Kongres Tahunan FAM Ke-53 akan diadakan pada 25 Mac 2017 untuk pemilihan kepimpinan baharu FAM bagi penggal 2017 hingga 2021 yang melibatkan jawatan presiden, dua timbalan presiden, empat naib presiden dan 10 exco, termasuk dua exco wanita.

2. Notis untuk kongres ini kepada ahli-ahli gabungan akan dikeluarkan dalam masa terdekat dengan pencalonan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 23 Januari 2017 dan calon-calon yang dicadangkan akan diminta membuat persetujuan untuk menerima pencalonan.

3. Senarai akhir pencalonan itu seterusnya akan dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 20 Februari 2017 untuk disahkan calon-calon yang akan bertanding pada kongres yang dijadual berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya pada 25 Mac 2017.

4. Berhubung isu pendrive, laporan yang diterima FAM daripada SPRM telah pun dikemukakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Integriti FAM yang dipengerusikan Tan Sri Aseh Che Mat dan jawatankuasa berkenaan mengesahkan bahawa tiada unsur-unsur lain dalam kandungan 297 muka surat selain daripada laporan berkaitan perkara-perkara teknikal merangkumi pembangunan belia dan pendidikan kejurulatihan.

5. Liga Futsal Kebangsaan (LFK) akan diadakan kembali pada tahun depan dengan ia dikendalikan sepenuhnya oleh FAM bermula dari Februari 2017.

6. Jawatankuasa Undang-Undang FAM mulai tahun depan akan memperkenalkan satu peraturan baharu iaitu 'intermediaries regulation' yang mana ia membenarkan pemain-pemain diwakili oleh mana-mana pihak yang diizinkan oleh peraturan untuk menjadi wakil pemain dalam urusan kontrak dan sebagainya. Intermediaries atau pengantara ini perlu berdaftar dengan FAM dan tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan.

7. Status enam bekas pemain Sabah yang digantung seumur hidup kerana terbabit kes rasuah akan dibawa semula untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM memandangkan terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan selepas FAM menerima surat maklum balas daripada FIFA dan AFC.

8. Isu perlawanan yang tidak diteruskan di Korea Selatan melibatkan NFDP, FAM telah menerima surat penjelasan daripada NFDP dan FAM telah mengeluarkan peringatan kepada pihak berkaitan supaya tidak mengulangi perkara ini pada masa akan datang.

9. Isu bantahan PDRM terhadap JDT yang menurunkan pemain yang digantung akibat kad kuning, FAM telah dimaklumkan bahawa PDRM telah menarik semula bantahan tersebut dan perkara ini adalah dalam bidang kuasa Jawatankuasa Tatatertib FAM. Selepas dirujuk dan mendapat pandangan pengerusi jawatankuasa berkenaan, disebabkan bantahan tersebut telah pun ditarik balik, maka tiada lagi kes yang dikaitkan.

10. Selepas semusim FMLLP dan MP & Silva mengendalikan Liga Malaysia, FAM mendapati perjalanannya nampak seperti yang disasarkan. Namun begitu, sudah tentu selepas selesainya saingan musim ini, FAM akan meminta laporan keseluruhan post-mortem bagi menilai setiap ruang untuk penambahbaikan.