Rozaimi azam lakar kegemilangan di Sukan SEA

Penyerang harapan skuad Sukan SEA, Rozaimi Abdul Rahman yang baru sahaja kembali dari kecederaan buku lali menyatakan hasratnya untuk melakar kegemilangan bersama Harimau Muda pada penampilan terakhirnya di kejohanan dwitahunan itu, hujung bulan ini.

“Kalau saya terpilih untuk ke Singapura, saya mahu membantu pasukan negara untuk mendapatkan pingat emas kerana ini adalah kejohanan terakhir saya sebelum melepasi had usia,” ujar Rozaimi yang bakal genap 23 tahun pada 11 Jun ini.

Namun, pemain kelahiran Bongawan, Kota Kinabalu itu mengakui bahawa dirinya masih mencari rentak permainan terbaik setelah sekian lama tidak beraksi.

Rozaimi merupakan penjaring terbanyak Kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun 2013 dengan jumlah jaringan sebanyak tiga gol dan berjaya menjaringkan dua gol ketika Sukan SEA di Myanmar dua tahun lepas.

Skuad kendalian jurulatih Datuk Ong Kim Swee itu telah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut pada aksi persahabatan dengan menewaskan Real Mulia FC 4-1 sebelum menundukkan pasukan Liga Perdana, Sabah 3-0 di Kota Kinabalu.

Harimau Muda telah berlepas ke Bandung pada hari Selasa (19 Mei) bagi menghadapi perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan B-23 Indonesia di Stadium Si Jalak Harupat pada hari Khamis (21 Mei).

J Category: 
uncategorised8