Sejarah kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah

Menjelang edisi ke-28 kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 yang bakal berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor dari 2 hingga 8 Ogos ini, berikut diceritakan serba sedikit sejarah bola sepak wanita di Malaysia dan perjalanan kejohanan berkenaan yang dicetuskan pada tahun 1976. 

Bola sepak wanita di Malaysia bermula pada tahun 1960 hasil idea dicetus Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Satu perlawanan bola sepak wanita telah dimainkan sebagai pembuka tirai kepada perlawanan bola sepak amal bagi askar negara yang berkhidmat di Kongo.

Empat pasukan negeri telah mengambil bahagian iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Perlawanan tersebut menyumbangkan kejayaan dari segi kewangan melalui tarikan ‘Keadilan Jantina’ yang berjaya menghiburkan para penonton yang hadir.

Tunku Abdul Rahman telah bertindak untuk meminta bantuan pegawai-pegawai dari persatuan-persatuan bola sepak negeri untuk menubuhkan pasukan-pasukan bola sepak wanita yang akan bertanding di satu kejohanan yang selari dengan Piala Malaysia.

The Straits Timesjuga telah menyumbangkan sebuah piala untuk kejohanan tersebut. Usaha ini telah menjadi titik permulaan kepada penubuhan pasukan bola sepak wanita oleh persatuan-persatuan bola sepak negeri; Pulau Pinang dan Johor.

Piala Straits Times edisi pertama dianjurkan pada tahun 1961 dengan pasukan Selangor dan Pulau Pinang sebagai finalis. Pada tahun berikutnya, Singapura turut bertanding dan bertemu Selangor pada perlawanan akhir.

Walau bagaimanapun, kejohanan ini hanya mampu bertahan sehingga tahun 1965 kerana pasukan-pasukan bola sepak wanita negeri menghadapi masalah kewangan yang masih lagi membelenggu bola sepak wanita hingga sekarang.

Pada tahun 1965, pasukan kebangsaan wanita Malaysia di bawah kepimpinan isteri Tunku Abdul Rahman, Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah mengadakan siri perlawanan persahabatan di Hong Kong dan menang ketiga-tiga perlawanan yang dimainkan.

Konfederasi Bolasepak Wanita Asia (ALFC) telah ditubuhkan pada tahun 1968 di Hong Kong dengan Malaysia menjadi salah satu ahlinya. Tun Sharifah Rodziah telah dilantik sebagai Presiden manakala Veronica Chiu (Hong Kong) pula dilantik sebagai Naib Presiden.

Walau bagaimanapun, ALFC tidak aktif setelah penubuhannya sehingga Mac 1974 di mana Charlie Pereira (Singapura) telah dilantik sebagai Setiausaha dan ditugaskan untuk menggiatkan semula konfederasi tersebut.

Kejohanan Bola Sepak Wanita Asia pertama telah dianjurkan di Hong Kong pada bulan Ogos 1975 dengan Malaysia sebagai salah satu pasukan jemputan.

Persatuan Bolasepak Wanita Malaysia (PBWM) telah ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi pada bulan Disember 1974, dengan Tun Sharifah Rodziah sebagai Presiden dan Datin Teoh Chye  Hin sebagai Setiausaha. Pasukan kebangsaan wanita berjaya memperoleh tempat ke-4 dalam kejohanan enam penjuru tersebut.

PBWM menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri pada tahun 1976 buat julung kalinya bagi merebut Piala Tun Sharifah Rodziah yang telah didermakan oleh Tunku Abdul Rahman. Kejohanan tersebut juga mengguna pakai format “home” dan “away” seiring dengan format Piala Malaysia.

Sebanyak lapan pasukan telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Singapura.

Perlawanan akhir kejohanan menyaksikan pasukan negara jiran, Singapura berjaya menewaskan Negeri Sembilan untuk menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah.

Bilangan pasukan yang sama telah bertanding pada edisi kedua tahun 1977 dan pasukan Singapura sekali lagi muncul juara selepas menundukkan Perak pada perlawanan akhir.

Kedah mengambil bahagian pada tahun berikutnya dan menambah jumlah bilangan pasukan bertanding kepada sembilan. Singapura sekali lagi berjaya menjulang trofi selepas menang ke atas Selangor.

Pada tahun 1979, Singapura menewaskan Perak dalam perlawanan akhir.

Pada tahun 1980, bilangan pasukan bertanding kembali kepada tujuh pasukan setelah Pahang dan Kedah menarik diri daripada kejohanan. Pada perlawanan akhir, Singapura dan Melaka terikat seri.

Pada tahun 1981, tujuh pasukan telah mengambil bahagian. Negeri Sembilan tewas kepada Singapura pada perlawanan akhir.

Pada tahun 1982, Selangor dan Singapura seri tanpa jaringan pada perlawanan akhir.

Pada tahun 1983, PBWM di bawah pengerusi Toh Puan Sadiah Sardon telah mengubah format kejohanan kepada ‘karnival liga sepusingan’ dengan setiap pasukan bertanding menentang satu sama lain.

Perak tidak mengambil bahagian menjadikan jumlah pasukan bertanding kepada enam termasuk Singapura di Seremban, Negeri Sembilan. Singapura berjaya menjadi juara.

Pada tahun 1984, selain daripada Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri untuk merebut Piala Tun Sharifah Rodziah, satu lagi kejohanan di peringkat antarabangsa telah diperkenalkan iaitu kejohanan Piala Tunku Ampuan Najihah.

Sepanjang kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah, pemain-pemain akan dipilih untuk membentuk pasukan kebangsaan Malaysia menentang Singapura untuk trofi ini.

Pada tahun berkenaan, Johor menjadi tuan rumah Piala Tun Sharifah Rodziah di mana lima pasukan bertanding. Melaka dan Pulau Pinang pula telah mengambil keputusan untuk menarik diri manakala Sabah buat julung kalinya mengambil bahagian dan Johor menjadi juara.

Pada tahun 1985, enam pasukan - Sabah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan di Pulau Pinang. Selangor telah muncul juara.

Pada tahun 1986, kejohanan tersebut telah dianjurkan oleh PBWM dan dimainkan di Kuala Lumpur tanpa penyertaan Sabah. Johor dan Selangor terikat pada aksi perlawanan akhir.

Pada tahun 1987, Johor menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah di Lumut, Perak. Sebanyak lima pasukan telah menyertai kejohanan tersebut – Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Sabah.

Pada tahun 1988, hanya empat pasukan bertanding tanpa pasukan Pulau Pinang dan menyaksikan Sabah menang perlawanan akhir di Negeri Sembilan.

Pada tahun 1989, Johor sekali lagi berjaya menjulang trofi tersebut yang diadakan di Sabah.

Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri itu tidak dapat dianjurkan pada tahun 1990 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum yang berlangsung pada bulan yang sama.

Pada tahun 1991, PBWM telah menganjurkan kembali Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri edisi ke-15 pada bulan November, di Kuala Lumpur.

Enam pasukan termasuk pasukan baharu, Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) telah mengambil bahagian. Sabah menewaskan Johor pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Bandar Tun Razak, Cheras.

Pada tahun 1992, Kejohanan Bola Sepak Wanita Antara Negeri edisi ke-16 telah dianjurkan di Kuala Lumpur buat tahun kedua berturut-turut.

Enam pasukan termasuk pasukan baharu yang merupakan wakil bagi Wilayah Persekutuan telah dijemput untuk bertanding. Sabah sekali lagi muncul juara apabila menang 3-0 ke atas Perak pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Mindef, Kuala Lumpur.

Edisi ke-17 Piala Sharifah Rodziah (yang sepatutnya berlangsung pada 1993) pula hanya dapat dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan pada bulan Februari 1994 setelah menghadapi beberapa isu mengenai tarikh dan juga stadium.

Permasalahan yang dihadapi juga menyebabkan hanya tiga pasukan bertanding di mana pasukan Sabah meraih kemenangan hatrik setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

Pada akhir tahun 1994, edisi ke-18 kejohanan itu telah diadakan di Kuala Lumpur di mana Sabah muncul juara setelah menewaskan PDRM 4-0 pada perlawanan akhir.

Anugerah khas telah diberikan di dalam beberapa kategori:-

Penjaring Terbanyak: Laini Ahing (Sabah)

                                   Nor Aishah (PDRM)

Penjaga Gol Terbaik: Noridah Omar (KL)

Pemain Terbaik: Haineh Liem (Sabah)

Pada tahun 1995, edisi ke-19 telah disertai oleh sembilan pasukan yang menampilkan pendatang baharu - Perlis, Johor dan ISKL setelah tidak mengambil bahagian pada tahun sebelumnya. Sabah berjaya mempertahankan trofi kejuaraan menewaskan tuan rumah, Kuala Lumpur 3-0 pada perlawanan akhir.

Pada tahun 1996, edisi ke-20 juga telah diadakan di Kuala Lumpur di mana sepuluh pasukan mengambil bahagian. Sabah sekali lagi muncul juara menundukkan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan akhir.

Pada tahun 1997, edisi ke-21 telah dianjurkan di Seremban, Negeri Sembilan. Kejohanan kali ini disertai sembilan pasukan dan Sabah terus cemerlang menewaskan pesaing utama, Kuala  Lumpur 2-1.

Pada tahun 1998, edisi ke-22 telah diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur di mana sembilan pasukan bertanding - Negeri Sembilan, PDRM, Johor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, ISKL dan Sabah. Cubaan PDRM untuk menggugat juara bertahan, Sabah gagal apabila tewas pada perlawanan akhir.

Pada tahun 1999, edisi ke-23 pula telah diadakan di Kuantan, Pahang dan sebanyak tujuh pasukan – Negeri Sembilan, PDRM, Johor, Pahang, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka telah mengambil bahagian setelah 18 tahun tidak bertanding.

Juara bertahan, Sabah buat pertama kalinya tidak bertanding dan PDRM muncul juara dengan Kuala Lumpur sebagai naib juara.

Dua pasukan, PDRM dan Sabah berentap pada perlawanan akhir edisi ke-24 dan ke-25 di mana pasukan PDRM berjaya menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah.

Sabah terus muncul sebagai seteru utama pasukan PDRM dalam memburu Piala Tun Sharifah Rodziah dan beroleh kemenangan berganda pada tahun 2003 dan 2004.

Kemenangan tersebut juga membolehkan pasukan Negeri di Bawah Bayu itu untuk muncul sebagai juara terbanyak kejohanan sebanyak 11 kali.

Berikut merupakan senarai juara dan naib juara Piala Tun Sharifah Rodziah:

Tahun

Juara/Naib Juara

1976

Singapura/Negeri Sembilan

1977

Singapura/Perak

1978

Singapura/Selangor

1979

Singapura/Perak

1980

Singapura & Melaka *

1981

Singapura & Negeri Sembilan *

1982

Singapura & Selangor *

1983

Singapura & Negeri Sembilan *

1984

Johor/Sabah

1985

Selangor/Sabah

1986

Johor/Selangor

1987

Johor/Sabah

1988

Sabah/Johor

1989

Johor/Sabah

1991

Sabah/Johor

1992

Sabah/Perak

1993

Sabah/Negeri Sembilan

1994

Sabah/PDRM

1995

Sabah/Kuala Lumpur

1996

Sabah/Kuala Lumpur

1997

Sabah/Kuala Lumpur

1998

Sabah/PDRM

1999

PDRM/Kuala Lumpur

2000

PDRM/Sabah

2002

PDRM/Sabah

2003

Sabah/PDRM

2004

Sabah/PDRM

*Juara bersama

J Category: 
article/women-s-football