SIARAN MEDIA: AKSI MALAYSIA-OMAN 26 MAC SAH KEKAL DI BUKIT JALIL

2024-03-08

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin mengumumkan bahawa perlawanan keempat Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia lwn Oman pada Selasa, 26 Mac 2024 secara rasminya kekal akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, jam 10.00 malam.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato' Hans Isaac bersama-sama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon serta barisan kejurulatihannya telah melakukan lawatan bagi meninjau keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis, 7 Mac 2024.

Yang turut serta - Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub yang juga Ahli Lembaga Pengarah PSM; Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi serta pihak konsultan teknikal serta kontraktor padang tersebut.

Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk aksi menentang Oman itu nanti.

Dengan pengesahan venue tersebut, tiket bagi perlawanan Malaysia lwn Oman itu akan mula dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my pada Sabtu, 9 Mac 2024 dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan iaitu sama seperti perlawanan pertama Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz, November lalu.

Bagi kategori tiket Terbuka, harga ditetapkan pada RM40 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak bawah 12 tahun; RM60 bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat di Wisma FAM, hari ini bagi persiapan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang Oman di Sultan Qaboos Sports Complex, Muscat pada 21 Mac, sebelum terbang pulang ke tanah air bagi perlawanan keempat di Bukit Jalil pada 26 Mac 2024.

 

Datuk Noor Azman Hj Rahman

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Jumaat, 8 Mac 2024