SIARAN MEDIA: AKSI MALAYSIA-REPUBLIK KYRGYZ 16 NOVEMBER KEKAL DI BUKIT JALIL

2023-11-04

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini secara rasmi mengesahkan bahawa perlawanan pertama Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia lwn Republik Kyrgyz pada Khamis, 16 November 2023 akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, jam 9.00 malam.

Ketetapan itu dibuat selepas sesi pemeriksaan dan penilaian keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis lalu (2 November 2023) yang turut disertai oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin; Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Dato' Hans Isaac serta ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.

Pihak PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada pihak konsultan teknikal serta kontraktornya telah menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu dan sedia untuk digunakan pada 16 November depan.

Selain itu, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan.

Malah, Pan Gon dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau semalam turut mahukan aksi menentang Republik Kyrgyz ini kekal berlangsung di Stadium Nasional.

Dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan tersebut akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancarannya.

Selepas aksi bertemu Republik Kyrgyz itu, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Chinese Taipei pada Selasa, 21 November 2023.

Seterusnya Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac 2024 dan di tempat sendiri pada 26 Mac 2024; bertemu Republik Kyrgyz di tempat lawan pada 6 Jun 2024 dan menanti kunjungan Chinese Taipei di laman sendiri pada 11 Jun 2024.

 

Datuk Noor Azman Hj Rahman
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Sabtu, 4 November 2023