SIARAN MEDIA: DUA PEMAIN HARIMAU MALAYA SAH POSITIF COVID-19

2021-12-05

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa dua pemain skuad Harimau Malaya ke Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura telah disahkan positif COVID-19 selepas keputusan ujian PCR yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Jumaat lalu diperolehi.

Dua pemain berkenaan - Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim kini diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga ke 10 hari oleh pihak berkuasa di Singapura ini yang mana tahap kesihatan mereka akan dipantau secara harian memandangkan mereka tidak bergejala.

Jika ujian selanjutnya itu mendapati pemain tersebut telah bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini.

Biarpun tanpa dua pemain ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tetap akan meneruskan perlawanan pertama Kumpulan B berdepan Kemboja di Stadium Bishan, petang esok dengan baki pemain lain yang ada selepas kesemua mereka diuji negatif pada ujian susulan yang telah pun dilakukan.

 

Mohd Saifuddin Abu Bakar

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)