SIARAN MEDIA: ENAM PENGADIL DIPILIH CALON PERINTIS MPRORS

2020-03-11

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelancaran projek pengadil profesional yang dinamakan Malaysia Professional Referee System (MProRS) dengan enam orang pengadil kebangsaan telah disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada projek berkenaan.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, MProRS membawa misi yang cukup besar iaitu untuk menjadikan pengadil dari Malaysia sebagai mercu tanda pengadilan Asia.

"Bagi mencapai sasaran berkenaan, MProRS perlu menerapkan budaya pengadilan yang benar-benar profesional dan konsisten pada setiap perlawanan selain penggunaan teknologi dalam meningkatkan lagi prestasi pengadil.

"Mereka yang terpilih menyertai MProRS ini sudah tentu akan diberikan bimbingan secara lebih terperinci, dilatih dengan cukup profesional dan dinilai prestasi mereka supaya status pengadil profesional itu sama gah dengan namanya," kata Datuk Haji Hamidin.

Majlis pengumuman pelancaran MProRS itu telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini dengan turut dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam; Ahli Jawatankuasa Pengadil FAM, C Ravichandran dan Ketua Unit Pengadil FAM, Haji Kassim Kadir Bacha.

Tambah Datuk Haji Hamidin: "Perkara membabitkan pengadil profesional ini turut terkandung dalam Peta Hala Tuju atau Roadmap F:30 FAM iaitu dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah pengadil profesional kepada lapan orang pada tahun 2022.

"Saya sangat berharap kita dapat mengorak langkah dengan pantas bagi memulakan kelompok perintis MProRS ini supaya jumlah yang disasarkan itu berjaya dicapai."

Sementara itu, ACP (B) Md Dali menjelaskan bahawa enam orang pengadil kebangsaan yang telah disenarai pendek itu sedang dipantau prestasi mereka pada setiap perlawanan Liga Malaysia yang dikendalikan sepanjang tempoh empat bulan ini sehingga penghujung Jun 2020.

Enam pengadil berkenaan adalah Muhammad Nazmi Nasaruddin, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.

"Proses pemilihan pengadil profesional ini sebenarnya telah bermula sejak 2019 lagi apabila Jabatan Pengadil FAM membuka tawaran kepada semua pengadil yang berminat dan selepas proses tapisan dan temuduga, enam calon akhir ini telah disenarai pendek.

"Pada Julai 2020, FAM akan mengumumkan secara rasmi nama dua pengadil terbaik daripada enam calon berkenaan untuk ditawarkan kontrak dan bergelar pengadil profesional, sekali gus sebagai perintis MProRS.

"Seterusnya, FAM akan mengulangi proses yang sama pada awal musim 2021 dengan dua lagi pengadil akan ditawarkan kontrak menyertai MProRS dan disusuli musim 2022 dengan tambahan dua lagi pengadil menganggotai MProRS, menjadikan jumlah keseluruhan seramai enam orang," jelas ACP (B) Md Dali.

Bagi memastikan proses dan gerak kerja ke arah sasaran itu berada pada landasan, ACP (B) Md Dali berkata: "Seorang individu akan dilantik sebagai Pengurus Pembangunan MProRS dan beliau akan dibantu oleh 14 orang Pegawai Pembangunan Pengadil Negeri yang telah dilantik."

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Dato' Ab Ghani Hassan menyambut baik perkembangan pelaksanaan MProRS ini kerana ia merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan mutu pengadilan dalam perlawanan Liga Malaysia.

"Idea dan perancangan ke arah pengadil profesional ini telah lama kita perkatakan dan pada hari ini, ia akhirnya diumumkan dengan pengenalan MProRS ini yang saya yakin sudah tentu ia mampu melonjakkan pengadil Malaysia ke satu tahap yang lebih baik.

"Secara tidak langsung, enam pengadil yang tercalon itu pastinya akan berusaha meningkatkan prestasi masing-masing untuk terpilih sebagai perintis MProRS dan ia akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang ini, sekali gus mampu memberi impak positif terhadap mutu pengadilan dalam perlawanan-perlawanan Liga Malaysia," kata Dato' Ab Ghani.