SIARAN MEDIA: FAM AKAN PASTIKAN OPERASI VAR DI LIGA MALAYSIA SENTIASA SELARAS DENGAN PROTOKOL FIFA

2024-05-28

Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat buat kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 27 Mei 2024 telah membincangkan keadaan semasa pelaksanaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia iaitu bagi saingan Liga Super musim 2024-2025.

Selepas berlangsungnya Hari Perlawanan 1, 2 dan 3, pelaksanaan teknologi VAR di saingan Liga Super ini dilihat berjalan dengan lancar yang mana para pengadil yang ditugaskan telah mengikut protokol yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FAM sangat mengambil berat tentang prestasi pengadil dan kepatuhan terhadap Protokol VAR FIFA dan Undang-undang Permainan FIFA 2024/2025.

Untuk itu, setiap langkah dan keputusan yang dibuat adalah selaras dengan ketetapan yang disebut dalam Protokol VAR dan platform IAAP (Implementation Assistance and Approval Programme).

Jawatankuasa Pengadil FAM juga akan terus memantau prestasi pengadil di Liga Malaysia terutama perlawanan yang menggunakan VAR, selain telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan prestasi pengadil akan terus kekal pada tahap optimum.

 

1. Data Analisa Perlawanan VAR

 

Unit Pengadil FAM telah membuat analisa prestasi pengadil bagi 15 perlawanan yang telah menggunakan teknologi VAR di Liga Super bermula dari Hari Perlawanan 1 hingga Hari Perlawanan 3.

Berdasarkan analisa tersebut sebanyak 11 ‘On Field Review’ (OFR) telah dilakukan dengan purata OFR 0.73 satu perlawanan. Angka ini menunjukkan keberadaan semasa pemahaman protokol VAR yang dimiliki oleh pengadil-pengadil di Liga Malaysia.

Bola sepak moden lebih mirip kepada kelancaran perlawanan dan OFR yang melebihi purata 3 dalam satu perlawanan akan memberi gambaran yang buruk kepada prestasi pengadil. Inilah penanda aras yang sedang digunakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA bagi menilai keberkesanan penggunaan teknologi VAR.

Sementara purata Tambahan Masa bagi setiap perlawanan adalah sebanyak 9.94 minit.

Untuk makluman, semakan Video OFR hanyalah dibuat bagi keputusan perlawanan yang melibatkan ruang untuk tafsiran. Ini bermaksud, bukan semua insiden yang mana pengadil wajib melakukan OFR atau semakan video di sisi padang permainan.

Kebanyakan insiden adalah disemak oleh VAR dan insiden yang melibatkan fakta tidak memerlukan OFR atau semakan video kecuali dalam situasi-situasi tertentu sahaja ‘Sell the Decision’.

Analisa perlawanan jelas menunjukkan bahawa prestasi pengadil setakat Hari Perlawanan 3 berada pada satu tahap yang cukup membanggakan.

 

2. Program Kenali VAR FAM

 

Program Kenali VAR ini merupakan langkah dan inisiatif FAM dalam memulakan proses penyebaran maklumat berkaitan protokol VAR yang baru sahaja dilaksanakan dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Ia bertujuan untuk mendidik para peminat bola sepak di negara ini supaya sedikit sebanyak memperoleh info serta dapat memahami perkara-perkara berkaitan VAR memandangkan ini musim pertama Liga Malaysia mengguna pakai teknologi ini.

Menerusi program ini, FAM akan memuatkan info-info berkaitan protokol VAR dan info terkini VAR. Program Kenali VAR ini merupakan terbitan secara siri mingguan dan akan diurus selia oleh Unit Pengadil FAM.

 

3. ‘Batch Ke-2’ Latihan VAR

 

FAM juga akan memulakan ‘Batch Ke-2’ latihan VAR bagi menambah bilangan pengadil VAR. Fasa Latihan akan dimulakan pada Ogos hingga Disember 2024. Seramai 15 Pengadil, 15 Penolong Pengadil dan 10 Replay Operator akan dilatih sebagai pengadil VAR.

 

4. VAR di Sabah

 

FAM turut akan membuat satu fasa latihan di Sabah dengan menggunakan teknologi VAR Goal Sport bagi membolehkan teknologi VAR Goal Sport yang dibeli pihak di sana dapat digunakan pada perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Latihan ini akan dimulakan pada 6 hingga 10 Jun 2024.

Usaha ini perlu dilakukan kerana kemahiran dan keberadaan pengadil VAR merupakan elemen utama dalam pelaksanaan teknologi VAR di Liga Malaysia.

Segala urusan penggunaan teknologi VAR di Liga Malaysia adalah di bawah kawal selia FAM dan kepatuhan protokol VAR diuatamakan.

 

5. Analisa Pasca Perlawanan ‘Post-match Briefing’ dan Pra Perlawanan ‘Pre-match Briefing’

 

Unit Pengadil FAM telah mengadakan Analisa Pasca Perlawanan bagi setiap hari perlawanan yang dimainkan dengan teknologi VAR. Program ini dijalankan setiap minggu pada Rabu jam 9:00 malam hingga 10:30 malam.

Klip video yang dipilih adalah berkaitan dengan elemen pengukuhan dan pemurnian bagi membimbing para pengadil.

Sesi ini wajib dihadiri oleh semua pengadil VAR dan penilai pengadil yang terpilih. Program ini bermatlamat untuk membincang isu-isu berkaitan dengan ‘Penalty Area Incident’, ‘tactical foul’, ‘Red Card Incident’, ‘Handball’, ‘Offside’ dan sebagainya.

FAM sememangnya sangat komited dengan pelaksanaan teknologi VAR di Liga Malaysia dan berharap ia dapat terus diperbaiki dari semasa ke semasa.

 

Dato’ S. Sivasundaram

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 28 Mei 2024