SIARAN MEDIA: FAM & JOMA MALAYSIA LANCAR BARANGAN RASMI MPFL 2023

2023-02-09

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama penaja bola rasmi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023, Joma Malaysia telah melancarkan barangan rasmi MPFL bagi musim ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi.

Selain itu, bola Joma FIFA Pro Grafity II juga telah diumumkan sebagai bola rasmi pertandingan bagi saingan Malaysia Futsal Cup (MFC) 2023 yang dijadualkan berlangsung selepas MPFL 2023 iaitu bermula Ogos hingga September 2023.

Majlis pelancaran barangan rasmi keluaran Joma Malaysia itu turut menyaksikan kerjasama di antara FAM bersama Joma Malaysia diteruskan untuk tahun kelima.

Exco FAM selaku Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM, Dato' Sri Shahril Mokhtar menzahirkan rasa penghargaan terhadap barisan penaja-penaja MPFL 2023 & MFC 2023.

"Kehadiran barisan penaja-penaja di dalam kempen MPFL 2023 dan MFC 2023 adalah amat berharga buat kami di FAM di mana sokongan Joma Malaysia ini merupakan satu peluang keemasan untuk FAM meluaskan lagi jenama MPFL dan MFC di dalam pasaran tempatan terutama sekali di dalam kalangan peminat-peminat muda.

"Saya berharap komitmen Joma Malaysia ini dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat swasta di luar sana untuk bekerjasama bersama FAM dalam misi membangunkan arena futsal negara," kata Dato' Sri Shahril.

Sementara itu, Naib Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail menganggap kehadiran Joma Malaysia sebagai penyeri pertandingan MPFL 2023 dan MFC 2023. 

"Mewakili Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang sentiasa komited untuk membangunkan sukan bola sepak tanah air termasuk sukan futsal, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Joma Malaysia di atas sokongan mereka terhadap arena futsal negara.

"Dengan format yang berbeza untuk musim 2023, MPFL tahun ini bakal menyajikan lebih banyak perlawanan yang kompetitif dengan kehadiran 3 pasukan baharu di dalam senarai pasukan bertanding.

"Kami akan terus melakukan pemerhatian serta menambahbaik pertandingan-pertandingan elit futsal di bawah kelolaan FAM agar kolam pemain futsal ini dapat dibesarkan lagi sekali gus melahirkan lebih ramai pemain futsal yang kompetitif serta berkualiti tinggi," kata Datuk Seri Rosmadi.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman serta Pengerusi Eksekutif Joma Malaysia, Dato’ Seri John Hii KT, Pengarah Urusan Joma Malaysia, Wong Ngie Siing dan Pengarah Pemasaran Joma Malaysia, Ng Boon Yong.

Sementara itu, Ngie Siing meluahkan rasa teruja menanti sepak mula MPFL 2023 yang akan bermula pada 18 Februari ini.

"Kerjasama dengan FAM ini amatlah berharga buat kami di Joma Malaysia kerana sukan futsal ini adalah antara sukan yang diminati oleh penyokong dan peminat bola sepak tempatan.

"Selain itu, kejayaan FAM menganjurkan edisi pertama MFC tahun lalu telah menarik perhatian kami Joma Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada MFC bagi tahun 2023," kata Ngie Siing.

Barangan rasmi MPFL 2023 boleh didapati di rangkaian cawangan Sports Direct serta kedai-kedai menjual barangan futsal terpilih bermula 18 Februari ini pada harga RM99.

 

Siaran media ini dikeluarkan pada Khamis, 9 Februari 2023