SIARAN MEDIA: FAM LANCAR MUSIM BAHARU LIGA WANITA NASIONAL (LWN) 2024

2024-06-27

Dengan inisiatif untuk merancakkan lagi bola sepak wanita di dalam negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini telah mengadakan Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) bagi musim 2024 di Lalaport, Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur.

Mengambil kira kejayaan penganjuran LWN 2023 tahun lalu, objektif utama penganjuran liga bola sepak wanita kebangsaan kali ini bakal menyaksikan pelbagai pembaharuan di mana kesemua perlawanan akan dijalankan di stadium selain pelbagai promosi media akan dijalankan bagi mempromosikan lagi sukan bola sepak wanita.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah hadir bagi merasmikan Liga Wanita Nasional 2024 bersama Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

YB Hannah telah menzahirkan ucapan tahniah kepada FAM di atas dedikasi dan komitmen dalam menyediakan ruang dan peluang kepada pemain bola sepak wanita di Malaysia.

“Liga bola sepak wanita ini jelas menunjukkan bahawa sukan ini memiliki potensi yang cerah jika terus diberikan peluang dan berada di landasan yang tepat.

“Peningkatan dari segi penyertaan pasukan bagi musim 2024 kali ini juga mencerminkan populariti dan pengiktirafan kepada bola sepak wanita di negara kita.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan ekosistem serta hala tuju bola sepak wanita bagi mencapai aras kecemerlangan sukan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa,” kata YB Hannah.

Sementara itu, Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob turut berkongsi pembaharuan yang diterapkan pada LWN 2024 kali ini akan memastikan setiap pasukan dapat mempamerkan aksi terbaik di atas padang.

“8 pasukan terdiri daripada tiga pasukan baharu iaitu Melaka, Red Eagles SC (Kedah) dan Real CJ FC (Pulau Pinang) bersama lima pasukan dari musim 2023 iaitu Sabah, Selangor, Kelana United FC, Malaysian University dan SSMP akan berentap bagi merebut gelaran Juara LWN 2024.

“Apa yang menjadikan LWN pada tahun ini lebih manis adalah pencapaian pasukan Sabah selaku Juara LWN 2023 telah layak ke pusingan pertama AFC Women’s Champions League 2024 buat julung-julung kalinya.

“Pastinya pencapaian pasukan ini bakal menjadi inspirasi buat pasukan-pasukan LWN 2024 yang sudah tentu mengidamkan peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa,” kata Dato’ Suraya.

Selain itu, Dato’ Suraya juga telah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah dan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin diatas sokongan yang tidak berbelah bagi kepada bola sepak wanita.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ S. Sivasundaram, Exco FAM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dr. Siti Faidul Maisarah dan Exco FAM, Dato’ Adly Shah Ahmad Tah dan ACP (B) Md Dali Wahid.

Dengan hashtag rasmi LWN 2024, ‘I Lead The Game’, FAM berharap ia dapat memberikan kesemua pemain bola sepak wanita keyakinan untuk memacu sukan ini seterusnya menjadi ikon buat para pemain muda di dalam dan luar padang menerusi liga ini.

LWN 2024 dijadualkan bermula pada Sabtu, 6 Julai 2024 dengan perlawanan pembukaan di antara Kelana United FC menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada jam 4.00 petang.

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Khamis, 27 Jun 2024