SIARAN MEDIA: FAM-PSM TERUSKAN KERJASAMA UNTUK TEMPOH LIMA TAHUN SEHINGGA DISEMBER 2025

2021-03-16

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), hari ini telah mengumumkan lanjutan perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2025 untuk Stadium Nasional yang terletak di Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil terus menjadi 'Rumah Harimau Malaya' bagi tempoh lima tahun yang akan datang.

Majlis menandatangani lanjutan perjanjian itu berlangsung di Stadium Nasional, KLSC, Bukit Jalil, di sini, hari ini dengan FAM diwakili oleh presidennya, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin manakala PSM diwakili oleh pengerusinya, Tan Sri Anthony Francis Fernandes.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram; Naib Presiden FAM, Encik Mohd Joehari Mohd Ayub; Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Encik Saaran a/l Nadarajah, Encik Christopher Raj Aralanthu, Tuan ACP (B) Md Dali Wahid dan Encik Syed Yazid Syed Omar; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam serta pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Encik Mazlan Ami.

Terdahulu pada 15 Ogos 2019, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2020 untuk menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang sendiri skuad bola sepak kebangsaan bagi mana-mana pertandingan atau kejohanan rasmi.

Bagaimanapun mengikut perjanjian tersebut, skuad Harimau Malaya dibenarkan untuk beraksi di stadium-stadium lain di seluruh negara jika ia hanya membabitkan perlawanan-perlawanan persahabatan.

FAM gembira dan berbesar hati dengan kesudian pihak PSM untuk meneruskan lagi kerjasama bagi tempoh lima tahun yang akan datang ini, sekali gus menyaksikan pelbagai aktiviti atau program dapat dijalankan di Stadium Nasional seiring dengan statusnya sebagai 'Rumah Harimau Malaya'.

"Selepas perjanjian bersama ditandatangani di antara FAM dan PSM pada Ogos 2019, kita dapat menyaksikan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe begitu gah apabila turun beraksi di Stadium Nasional ini yang mana kita berjaya meraih dua kemenangan penting dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menewaskan Thailand 2-1 dan Indonesia 2-0 pada November 2019.

"Namun selepas itu, kemeriahan 'Rumah Harimau Malaya' ini dengan riuh rendah sorakan lebih 80,000 penyokong Harimau Malaya tidak dapat diteruskan momentumnya kerana perlawanan kelayakan telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

"Tapi saya cukup yakin, apabila penyokong kembali dibenarkan untuk memasuki stadium nanti, 'Rumah Harimau Malaya' ini pasti akan kembali bergema dan ia sudah pasti akan memberikan suntikan motivasi tambahan kepada para pemain Harimau Malaya untuk beraksi dengan lebih cemerlang dan bertenaga.

"Selain itu, cadangan pembinaan Muzium Sukan yang akan turut melibatkan penyertaan pasukan Harimau Malaya di Stadium Nasional akan diteruskan apabila keadaan semakin baik nanti," kata Dato’ Sivasundaram.

Perbincangan berhubung lanjutan kerjasama di antara FAM dan PSM ini telah dimulakan ketika Datuk Haji Hamidin menerima kunjungan Tan Sri Tony di pejabatnya di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 10 Disember 2020 yang mana kedua-dua pihak berasakan bahawa kerjasama ini mampu untuk membantu menaikkan lagi imej bola sepak negara.

Sementara itu, Tan Sri Tony pula berkata, hubungan kerjasama ini akan memberikan faedah kepada kedua-dua pihak.

“Bagi PSM, melalui hubungan kerjasama ini, ia akan menjadikan Stadium Nasional sebagai venue rasmi untuk semua kejohanan dan perlawanan rasmi bola sepak skuad kebangsaan. Diharapkan pandemik COVID-19 ini akan segera berakhir demi untuk mengembalikan kegemilangan dan kemeriahan Stadium Nasional oleh peminat-peminat sukan bola sepak.

“Selain itu, dengan meneruskan perjanjian ini, ia dapat merungkai segala kesulitan yang pernah berlaku di antara kedua-dua pihak semasa penganjuran kejohanan atau perlawanan rasmi bola sepak sebelum ini.

“Dalam erti kata lain, perjanjian kerjasama ini dapat memudahkan urusan PSM dan FAM, di samping dilihat sebagai sokongan dan pemberi semangat oleh PSM kepada pasukan Harimau Malaya apabila beraksi menentang pasukan lawan di rumah sendiri serta menaikkan lagi imej sukan bola sepak,” kata Tan Sri Tony.

Tambah Tan Sri Tony lagi: “Terdapat beberapa perancangan yang dibincangkan dengan pihak FAM seperti pembinaan muzium sukan dan sebagainya. Walau bagaimanapun ia masih di peringkat perbincangan dan memerlukan penilaian yang teliti supaya pelaksanaannya dapat memberi kesan positif kepada semua pihak.”

PSM juga amat berterima kasih kepada Kerajaan kerana telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi kerja-kerja penukaran rumput Stadium Nasional walaupun dalam kekangan kewangan ekoran pandemik Covid-19.

Justeru PSM akan mengambil tindakan untuk melaksanakan proses-proses yang terlibat terutamanya pengujian penanaman rumput bagi mengenal pasti rumput yang terbaik dan bersesuaian untuk ditanam di Stadium Nasional.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe beraksi di Stadium Nasional ialah pada 19 November 2019 ketika menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelima Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum aksi berikutnya masih ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, perlawanan kelayakan menentang Vietnam yang sepatutnya berlangsung di Stadium Nasional pada 31 Mac 2021 telah pun ditunda ke Jun 2021 yang mana ekoran situasi semasa COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya, baki perlawanan bagi Kumpulan G itu akan diadakan secara berpusat di UAE.

Bagi tiga baki perlawanan kelayakan di UAE itu nanti, skuad Harimau Malaya akan bertemu UAE pada 3 Jun, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun 2021.