SIARAN MEDIA: FAM PULANG SEMULA TARIKH DUA AKSI ANTARABANGSA SEPTEMBER INI KEPADA MFL

2021-08-09

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan untuk memulangkan semula tarikh bagi panggilan skuad kebangsaan, Harimau Malaya bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 30 Ogos hingga 7 September ini kepada badan pengendali Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) untuk dilangsungkan perlawanan Liga Malaysia 2021 pada tempoh tersebut.

Ia berikutan permohonan FAM untuk mengadakan dua perlawanan antarabangsa di negara ini yang membabitkan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe dalam tempoh jendela FIFA itu sehingga ke hari ini masih belum mendapat sebarang kebenaran atau kelonggaran yang diperlukan untuk pengendalian perlawanan antarabangsa ini.

Disebabkan itu, negara-negara antarabangsa lain yang terlibat tidak dapat menunggu lagi untuk kebenaran yang perlu didapati daripada FAM dan mereka terpaksa membuat keputusan untuk membuat perancangan lain bagi pasukan masing-masing.

Walau bagaimanapun, fokus FAM kini adalah melakukan perancangan dan persediaan awal untuk mendapatkan pasukan lawan yang baharu bagi jendela perlawanan antarabangsa FIFA berikutnya iaitu dari 4 hingga 12 Oktober 2021 sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang Piala Suzuki AFF 2020 pada Disember ini dan juga Pusingan 3, Kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.

FAM juga berharap agar permohonan kali ini mendapat perhatian dan kelulusan awal daripada pihak berkuasa.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)