SIARAN MEDIA: FAM RAIKAN BARISAN PENGADIL BAGI MUSIM 2022, KRONOS MALAYSIA LANCAR JERSI PENGADIL BAHARU MUSIM 2023

2023-01-19

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengadakan Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil sebagai tanda penghargaan barisan pengadil Liga Malaysia bagi musim 2022 selain mahu meraikan pengadil yang bakal bersara pada musim 2023. 

Majlis Makan Malam Penghargaan Pengadil yang telah dilangsungkan di Hotel Concorde, Shah Alam itu turut menyaksikan pelancaran jersi terbaharu keluaran Kronos Malaysia yang akan disarungkan oleh barisan pengadil bagi edisi 2023.

Pada pelancaran jersi terbaharu itu, Kronos Malaysia telah mengekalkan dua warna tradisi jersi pengadil Liga Malaysia iaitu warna hijau dan jingga serta menampilkan dua warna baharu iaitu warna fluorescent kuning dan merah jambu dengan corak yang lebih menarik. 

Majlis makan malam berkenaan dihadiri oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kedua-dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato' S. Sivasundaram, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bersama barisan Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman, Presiden Malaysian Football League, Dato' Ab. Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri serta Pengurus Besar Kronos Malaysia, Vincent Lai Wai On. 

Selain pelancaran jersi baharu pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin dan Mohd Yusri Muhamad telah dinobatkan sebagai Pengadil Kebangsaan Terbaik dan Penolong Pengadil Kebangsaan Terbaik bagi Musim 2022 manakala Nurul Hafizah Nuraddin serta Siti Noorhidayat Ghazali pula dinobatkan sebagai Pengadil Wanita serta Penolong Pengadil Wanita Terbaik bagi Musim 2022.

Datuk Haji Hamidin berkata FAM sentiasa komited dalam memastikan mutu kepengadilan di dalam Liga Malaysia terutama di Liga Super dan Liga Premier berada di tahap yang terbaik. 

"Bagi musim 2022, FAM telah menjalankan pelbagai aktiviti-aktiviti membabitkan pembangunan dan pemerkasaan pengadil demi menjaga serta mengekalkan kualiti barisan pengadil yang bertugas di Liga Super dan Liga Premier.  

"Bukan mudah untuk seorang pengadil membawa tanggungjawab melaksanakan perlawanan yang sentiasa menjadi tumpuan penyokong bola sepak negara, namun begitu, Alhamdulilah
secara keseluruhannya, prestasi pengadil bagi musim 2022 berada di tahap yang memuaskan. 

"Sudah tentu kami mahu melihat kualiti pengadil di Malaysia menjadi lebih baik di masa hadapan dan FAM telah pun merancang untuk meneruskan lagi serta menambahbaik
aktiviti-aktiviti pembangunan pengadil diteruskan lagi tahun ini. 

"Semoga menerusi majlis makan malam penghargaan pengadil ini serta jersi baharu pengadil yang akan digunakan bermula Februari ini dapat menyuntik semangat serta motivasi buat barisan pengadil dalam menjalankan amanah yang telah diberikan," kata Datuk Haji Hamidin. 

Beliau juga turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kronos Malaysia di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada FAM dalam memastikan barisan pengadil Malaysia dapat beraksi dengan baik. 

Sementara itu, Vincent Lai berkongsi rasa teruja untuk melihat jersi pengadil yang baharu digunakan oleh barisan pengadil pada aksi pertama Liga Super dan Liga Premier, Februari hadapan. 

"Besar harapan kami di Kronos Malaysia agar jersi baharu pengadil ini dapat menyemarakkan lagi semangat pengadil-pengadil untuk bertugas sekali gus memeriahkan lagi arena bola sepak negara yang akan bermula tidak lama lagi," kata Vincent. 

Jersi baharu pengadil bagi musim 2023 akan dijual pada harga RM99 sehelai dan boleh didapati mulai Khamis, 19 Januari 2023 menerusi laman sesawang Kronos Malaysia di www.kronossea.com atau dibeli secara fizikal di semua cawangan Kronos.  

Siaran media ini dikeluarkan pada Khamis, 19 Januari 2023