SIARAN MEDIA: FAM RAIKAN WANITA DALAM BOLASEPAK MENERUSI AKTIVITI AKAR UMBI

2022-05-14

Dalam menzahirkan komitmen terhadap bola sepak wanita, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah meraikan seramai 30 kanak-kanak perempuan sempena Hari Bolasepak Wanita AFC ke-8 di Wisma FAM, Kelana Jaya pagi ini.

Aktiviti bola sepak akar umbi itu juga telah menyaksikan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun beraksi di atas padang sekali gus memberi peluang kepada mereka pendedahan tentang permainan bola sepak khusus untuk para wanita.

Exco FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob berkata semangat kanak-kanak perempuan yang terlibat di dalam semua aktiviti bola sepak mencerminkan bahawa bola sepak wanita telah mula mendapat tempat di dalam kalangan penyokong terutama sekali para ibu bapa.

“Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih serta syabas kepada ibu bapa yang hadir pada pagi ini di atas sokongan mereka terhadap pembangunan bola sepak wanita negara.

“Saya pasti menerusi komitmen awal serta dedikasi ibu bapa di peringkat akar umbi ini, peserta-peserta cilik hari ini bakal menjadi pelapis pemain-pemain bola sepak wanita kebangsaan satu hari nanti.  

“Selain itu, saya juga terharu melihat semangat kanak-kanak perempuan yang telah hadir pada pagi ini di mana mereka sungguh teruja kerana dapat bermain bola sepak.

“Besar harapan saya agar minat mereka terhadap bola sepak diterus dipupuk agar semangat mereka untuk beraksi tidak terpadam,” kata Dato’ Suraya.

Beliau juga turut meluahkan rasa berterima kasih terhadap Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di atas komitmen beliau terhadap bola sepak wanita Malaysia.

“Menerusi pucuk kepimpinan Datuk Haji Hamidin, FAM komited untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain bola sepak wanita di dalam negara di mana ia akan menyumbang terhadap kolam bakat skuad bola sepak wanita kebangsaan.

“Penganjuran dua pertandingan bola sepak wanita iaitu Liga Wanita Nasional (LWN) serta Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) tahun ini akan membuka lebih banyak peluang untuk pemain-pemain bola sepak wanita di dalam negara untuk mempamerkan bakat.

“Saya percaya, menerusi sokongan yang telah dizahirkan oleh Presiden FAM terhadap pembangunan bola sepak negara termasuk bola sepak wanita, Malaysia pasti meraih kejayaan di dalam arena bola sepak Asia,” ujarnya. 

Yang turut hadir pada majlis itu adalah Exco FAM, Christopher Raj dan Saaran Nadarajah serta Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar; Ketua Unit Bola Sepak Wanita AFC, Cik Bai Lili; wakil dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Timbalan Pengarah Divisyen Pembangunan dan Kemajuan Sukan, Ahmad Syammeil, Ketua Cawangan Pembangunan Sukan Sekretariat Wanita KBS, Muhammad Hasni dan Ketua Cawangan Kejurulatihan dan Kepegawaian Sekretariat Wanita, Amreen Zaki Johar; wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dalizwa Deena serta Pengarah FRIENDS Advertising, Dato' Shahrien Zainal Abidin.

Selain itu, kapten skuad bolasepak wanita kebangsaan, Steffi Sarge Kaur dan penjaga gol skuad bolasepak wanita kebangsaan, Azurin Mazlan juga turut hadir bagi memeriahkan lagi Hari Bolasepak Wanita AFC.