SIARAN MEDIA: FAM SAHKAN DOKUMEN KALONDA TIDAK SAH

2020-07-07

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin memaklumkan bahawa satu dokumen penting yang dikemukakan oleh Marcel Kasongo Kalonda, pemain pertahanan berusia 22 tahun dari Congo yang mendakwa mempunyai darah campuran Malaysia, didapati adalah tidak sahih selepas semakan dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

1. Selepas cerita mengenai Kalonda dikatakan memiliki darah campuran Malaysia ini heboh diperkatakan di media sosial dan disusuli pula laporan berita memetik Kalonda sendiri yang mendakwa bapa dan datuknya berasal dari Sabah, langkah pertama diambil FAM adalah menghubungi sendiri Kalonda bagi mendapatkan pengesahan daripadanya.

2. FAM memaklumkan kepada Kalonda mengenai syarat kelayakan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan telah memberikan senarai semak (checklist) untuk pemain berkenaan menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan kepada FAM bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya.

3. Setelah menerima dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan itu daripada Kalonda, FAM mengambil langkah seterusnya iaitu menghubungi pula pihak-pihak yang berkenaan bagi mendapatkan kesahihan terhadap dokumen-dokumen yang diterima, termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFA) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

4. Susulan itu, semalam (Isnin, 6 Julai 2020), FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

5. Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya.

6. FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan kami tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan.

7. Adalah menjadi tanggungjawab FAM selepas mendapat sesuatu maklumat, untuk mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi dan atas sebab itulah FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda sebelum ini.

8. Dengan ini, FAM ingin menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia kerana ia perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu sebelum pemain itu boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

9. Pada masa yang sama, FAM memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara.

 

Stuart Ramalingam

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)