SIARAN MEDIA: FAM TAMPIL JELASKAN QURESHI DILAMAR PADA 2020

2022-01-18

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya tiada usaha untuk memastikan pemain remaja yang berpangkalan di England, Jaami Qureshi, diberi peluang mewakili negara. 

Sebaliknya FAM, menerusi Sekretariat Agungnya, berkomunikasi secara terus dengan bapa pemain itu, Perviz Qureshi, serta Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling, dalam membincangkan panggilan ke pusat latihan bagi skuad Bawah 19 tahun kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC Bawah 19 tahun yang sepatutnya diadakan di Uzbekistan pada 2020.

Perviz Qureshi juga pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dalam membincangkan status anaknya pada 2020.

Menerusi bebenang komunikasi di antara FAM dan Qureshi sekitar Julai 2020, bapa pemain itu mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih Brad Maloney ketika itu.

Pada masa yang sama, Wan Ahmad Kuzri Ahmad Kamal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mematuhi proses kuarantin selepas menyatakan kesediaan pulang ke tanah air bagi menjalani latihan bersama skuad Bawah 19 tahun dan dinilai dari segi kemahiran teknikal sebagai usaha meyakinkan panel kejurulatihan bahawa beliau layak dipertimbangkan.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM tidak akan berkompromi dalam mematuhi peraturan, garis panduan dan undang-undang kerajaan berhubung proses kuarantin berkaitan COVID-19 serta taraf kerakyatan untuk mana-mana individu bagi semua peringkat umur pasukan kebangsaan.

 

Urutan Peristiwa Bebenang Komunikasi dengan Brighton dan Perviz Qureshi:

30 Jun 2020 – E-mel di antara FAM dan Pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling, yang meminta program latihan pasukan Bawah 19 tahun menjelang Kejohanan Asia AFC Bawah 19 tahun di Uzbekistan pada Oktober.  

2 Julai 2020 – FAM meminta klip video permainan Qureshi.

7 Julai 2020 – FAM menerima klip video aksi Qureshi daripada Juruanalisis Prestasi Akademi Brighton.

10 Julai 2020 – Program latihan pasukan Bawah 19 tahun negara dikongsikan dengan bapa Qureshi, Perviz Qureshi yang turut mencadangkan agar Qureshi berangkat dari United Kingdom pada 15-17 Julai bagi memenuhi syarat wajib kuarantin selama 14 hari serta permohonan untuk memproses dokumen pengenalan mengikut syarat Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen Malaysia. FAM turut meminta jaminan daripada bapanya yang Qureshi akan komited menyarung jersi Malaysia seandainya kedua-dua England dan Malaysia layak ke Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun di Indonesia.

10 Julai 2020 – Bapanya Perviz menyatakan keberatan membenarkan Jaami pulang ke tanah air disebabkan tempoh kuarantin yang panjang tetapi mencadangkan agar FAM memulakan proses dokumentasi kewarganegaraan anaknya. Pada masa yang sama beliau keberatan mengizinkan FAM mengirim kakitangan teknikal untuk menilai kemampuan Jaami.

14 Julai 2020 – FAM menyatakan tiga perkara penting untuk dimuktamadkan:

(i) Jaami harus hadir secara fizikal bagi memenuhi proses permohonan dokumentasi kerakyatan termasuk kad pengenalan dan pasport 

(ii) Komitmen bahawa Jaami memilih kewarganegaraan Malaysia dan bukan England

(iii) Jaami harus melalui proses ujian pemilihan dari sudut teknikal seperti Wan Kuzri

24 Julai 2020 – Brad Maloney memutuskan untuk tidak menyenaraikan Jaami atas sebab tiada persetujuan dicapai di antara kedua-dua pihak berhubung penilaian teknikal terhadap pemain itu serta komitmen bahawa beliau memilih Malaysia dan bukan England seandainya kedua-dua negara layak ke Piala Dunia FIFA Bawah 20 tahun di Indonesia.

10 September 2020 – AFC mengumumkan Kejohanan Asia AFC Bawah 19 tahun ditangguhkan ke Mac 2021

25 Januari 2021 – AFC mengumumkan kejohanan itu dibatalkan dan Uzbekistan menjadi hos edisi 2023

 

Adalah jelas bahawa di sebalik dakwaan FAM tidak mengambil sebarang tindakan, Sekretariat Agung mengambil inisiatif berhubung dengan keluarga Qureshi pada 2020 tetapi atas sebab pelbagai faktor, usaha menjadikan Jaami rakyat Malaysia tidak tercapai. Memandangkan Jaami kini memilih kerakyatan Iraq, kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

 

Mohd Saifuddin Abu Bakar

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Selasa, 18 Januari 2022