SIARAN MEDIA: FAM TUBUH BADAN SIASATAN BEBAS KETUAI BEDAH SIASAT LAPORAN PRESTASI HARIMAU MALAYA DI PIALA SUZUKI AFF 2020

2022-01-07

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu-individu di luar Persatuan ini bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Sehubungan itu, FAM melantik bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan, untuk mengetuai badan siasatan bebas ini.

Datuk Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas ini terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, tempoh hari yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

 

Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

 

* Siaran media ini dikeluarkan pada Jumaat, 7 Januari 2022